HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mac 2008

Krisis MB Terengganu: gawat...gawat
Agendadaily.com

Bayangkan begini.Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said pergi ke Istana Tamu di Kuala Terengganu seorang diri hari ini untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu.

Beliau kemudiannya pergi ke Wisma Darul Iman dimana terletaknya pejabat Menteri Besar Terengganu untuk menjalankan tugasnya juga seorang diri.

Dah tu tiada seorang pun diantara 23 rakan ADUN BN negeri itu yang mahu dilantik menjadi ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kemudiannya jika beliau memanggil mesyuarat Dewan Undangan Negeri 23 orang ADUN BN itu akan buat undi tidak percaya terhadapnya.

Ahmad Said juga akan menghadapi tindakan disiplin dipecat dari UMNO.

Senario macam ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara.Namun ia mungkin berlaku jika Ahmad Said berdegil juga untuk pergi mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar hari ini.(Ahad)

Krisis lantikan Menteri Besar Terengganu menjadi gawat bila Sultan Terengganu bertegas mahukan ADUN Kijal itu dilantik ke jawatan itu

Pejabat Sultan Terengganu Sabtu mengeluarkan kenyataan mengumumkan bahawa Ahmad,51 akan memegang jawatan itu.

Sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Datuk Idris Jusoh jadi Menteri Besar dan surat watikah lantikan sudah diserahkan kepadanya.

Kesemua 23 ADUN BN sudah sepakat tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah itu.

Mereka mengumumkan pendirian tetap mahukan Idris jadi Menteri Besar dalam satu sidang akhbar yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar tidak berapa lama sebelum pejabat Sultan Terengganu mengeluarkan kenyataan.

Di Putrajaya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Ahmad Said boleh dikenakan tindakan disiplin jika meneruskan upacara mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu.

Menurut beliau watikah perlantikan Menteri Besar Terengganu telah diberikan kepada Idris dan ia merupakan keputusan parti yang perlu dipatuhi.

Ditanya kenapa mengenai kes Perlis dimana Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga diberikan watikah tidak dilantik menjadi Menteri Besar Perlis, Tengku Adnan berkata, di Perlis majoriti ADUN BN memberikan sokongan kepada Datuk Dr. Md. Isa Sabu dan dengan itu beliau dipilih menjadi Menteri Besar Perlis.

Dalam isu Terengganu, Idris mendapat sokongan 23 ADUN BN.

Tegas beliau, sebagai ahli parti, ADUN Kijal itu perlu tahu apakah akibat yang bakal diterima olehnya jika melanggar keputusan Presiden.

''Sebagai ahli UMNO dan BN, kita kena akur pada keputusan presiden parti, kita kena sayang parti, negara dan bangsa melebihi kepentingan peribadi tanpa mengira etnik kita," katanya.

Ditanya mengenai tindakan kesemua 23 ADUN yang akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar hari Ahad sebagai tanda protes, beliau berkata, Ahmad akan bersendirian kerana tidak disokong oleh sesiapa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ''Dia (Ahmad) sepatutnya ikut arahan yang diberikan oleh Presiden kerana surat tauliah sudah diberikan kepada Idris untuk angkat sumpah, jadi apa yang orang lain nak cuba lobi."

Ditanya mengenai terdapat campur tangan istana dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu, beliau memberitahu: ''Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa."

Tengku Adnan menjelaskan, walaupun istana berhak melantik Menteri Besar, tetapi presiden parti yang menang majoriti boleh menamakan Menteri Besar untuk sesebuah negeri.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam sidang akhbar mengumumkan pendirian mereka berkata ada di kalangan wakil rakyat terbabit yang sanggup meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.

"Pada hari ini kami semua wakil rakyat BN Terengganu kecuali Adun Kijal telah mengadakan perjumpaan dan kami ingin menegaskan bahawa kami sebulat suara menyokong dan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Idris sebagai Menteri Besar Terengganu. Tiada calon lain yang kami sokong.

"Jadi mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada Datuk Seri Idris, kami tidak akan menerimanya. Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah jawatan Menteri Besar) jika Datuk Seri Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," katanya.

Rosol yang juga wakil rakyat Ajil berkata kesemua wakil rakyat itu juga akan membuat undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri jika Idris tidak dilantik semula ke jawatan itu.

Beliau berkata mereka juga telah menandatangani surat untuk menyatakan sokongan kepada Idris dan ia akan diserah kepada Perdana Menteri dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) esok.

Rosol berkata kesemua wakil rakyat terbabit membuat keputusan menyokong Idris kerana berpendapat selain wakil rakyat Jertih itu, tiada pemimpin lain yang mampu mentadbir dan mengurus negeri itu dengan baik.

"Keputusan yang kami buat ini bukan satu paksaan, tanpa bayaran dan kami membuat pengakuan menyokong beliau (Idris) setulus hati kami," katanya dan menjelaskan bahawa ia dibuat bagi memperkasakan parti dan bukan atas kepentingan individu tertentu.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu selesai hari ini apabila pejabat Sultan Terengganu mengumumkan Datuk Ahmad Said untuk memegang jawatan itu.

Menurut kenyataan pejabat Sultan Terengganu hari ini, Ahmad, 51, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Tamu pagi ini.

"Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2) (a) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja.

"Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu," kata kenyataan itu.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu telah berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pelantikan Ahmad ialah bagi menggantikan Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan wakil rakyat Jertih yang menjadi Menteri Besar Terengganu selama satu penggal sejak 2004.

Ahmad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

Dalam karier politiknya, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Terengganu dan exco Pergerakan Pemuda UMNO Kebangsaan.

Pada pilihan raya umum lepas, Ahmad yang juga anggota Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Terengganu, berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal apabila menewaskan calon PAS, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi.

Beliau memperoleh 8,169 undi manakala Hazri 5,012 undi.

Sebelum menceburi politik pada 1990, Ahmad pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Setiu dan Kemaman. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengetua Pusat Pupuk Semangat Terengganu.

Spekulasi mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu bermula ekoran kedudukan Idris untuk mengangkat sumpah jawatan itu tergantung sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lepas.

Ini berikutan majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar dan anggota exco kerajaan negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguh pada saat-saat akhir.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Idris dan beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan beliau sebagai Menteri Besar antaranya Ahmad, wakil rakyat Chukai Datuk Mohamed Awang Tera dan anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Perkembangan itu menyebabkan wakil-wakil rakyat BN Terengganu, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 15 Mac lepas, dipercayai bagi menyatakan sokongan kepada Idris supaya beliau dikekalkan sebagai Menteri Besar negeri itu.

Terengganu yang kekal di bawah BN selepas pilihan raya umum lepas merupakan satu-satunya negeri yang belum mengadakan upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar.

Pada pilihan raya umum ke-12 lepas, BN menang 24 daripada 32 kerusi negeri manakala lapan lagi dimenangi PAS.- 22/3/.2008

Tiada ulasan: