HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mac 2008

Isu MB Terengganu, KeADILan buat laporan polis terhadap Umno, PM
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kebiadapan Umno/BN terhadap institusi raja di Terengganu dipandang serius banyak pihak termasuk Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) yang membuat laporan polis terhadap pemimpin tertinggi Umno dan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu semalam.

Laporan polis itu dibuat berikutan tindakan Umno yang disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan Istana Terengganu berhubung isu pelantikan Menteri Besar.

Seramai 12 anggota KeADILan yang diketuai Timbalan Ketua Angkatan Mudanya, Faris Musa membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu pada 4.30 petang.

Faris kemudian memberitahu pemberita, laporan itu dibuat terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya Dato' Seri Najib Tun Razak, dan 23 Adun yang telah membantah keputusan pelantikan Adun Kijal, Dato' Ahmad Said oleh Sultan Terengganu, sebagai Menteri Besar negeri itu.

"Keputusan telah dibuat, seharusnya mereka (Umno) mengambil tindakan untuk menerima dan akur kepada keputusan itu," katanya merujuk kepada pelantikan Adun Kijal Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan KeADILan Terengganu, Razali Alias berkata semua pihak yang terlibat agar menangani krisis tersebut dengan berhemah.

Sarannya semua pihak perlu berhati-hati terutamanya dalam menjaga hubungan dengan pihak Istana kerana ia amat sensitif bagi orang Melayu.

"Jika tidak dipersetujui sekalipun, suatu kaedah atau tindakan lain yang lebih bersopan perlulah digunakan," ujarnya.

Kekalutan yang berlaku dalam isu pemilihan Menteri Besar Terengganu mendedahkan sikap sebenar Umno yang langsung tidak menghormati institusi raja, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily semalam kesal dengan sikap yang ditunjukkan Umno terutamanya apabila Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat keahlian Adun Kijal, Dato' Ahmad Said.

Ia ditambah lagi dengan kegilaan Umno Terengganu yang dikepalai bekas Menteri Besarnya, Dato' Seri Idris Jusoh dan Rosol Wahid yang bertindak memprotes secara terang watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), ujarnya.

Sambil menyifatkan ia satu penghinaan kepada institusi beraja, beliau juga menyatakan tindakan Umno ini sebenarnya menunjukkan perpecahan yang dialami parti itu selepas kekalahan besar dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau turut kesal dengan kenyataan terbuka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail terhadap isu lantikan Menteri Besar Terengganu.

Katanya, Gani tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka sebaliknya beliau perlu bertemu secara tertutup dengan Sultan bagi menyampaikan pandangan.

Dengan membuat kenyataan secara terbuka ini ia satu yang memalukan selain mendedahkan tindakan campur tangan politik membabitkan Peguam Negara, katanya

Tiada ulasan: