Mafrel siasat undi pos di kem tentera di Kelantan
Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU (Hrkh) - Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) akan melakukan siasatan terhadap pengendalian undi pos di beberapa kem tentera di Kelantan termasuk Kem Desa Pahlawan di Ketereh dan Kem Batu Melintang, Jeli.
Pengerusinya, Abdul Malik Hussin berkata, penyiasatan serupa dilakukan di Mindef di samping terdapat juga laporan kertas undi pos begitu banyak tidak dikembalikan di Perak.
"Selain itu di Kelantan Mafrel akan melakukan siasatan ke atas tindakan membawa masuk pengundi luar ke sini dan pembayaran dibuat kepada pengundi yang diangkut untuk mengundi di Kelantan.
"Kami akan siasat sama ada ia dilakukan kuasa politik atau mana-mana pihak," katanya pada majlis keraian pemerhati Mafrel pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) di Kota Darulnaim, baru-baru ini.
Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu tergesa-gesa menentukan tarikh PRU-12 sehingga menimbulkan masalah kepada rakyat.
Kata beliau sepatutnya PRU-12 dilaksanakan secara adil dan saksama termasuk penentuan tarikhnya lebih awal bagi membolehkan rakyat dan parti politik membuat persediaan awal.
Malik juga berkata, insiden yang berlaku pada hari pengundian di Kuala Terengganu akan disiasat kerana ia boleh menjejaskan proses pengendalian pilihan raya di negara ini.
"Biar pun Mafrel diterima sebagai badan pemantau bebas, namun Suruhanjaya Pilihan Raya tidak membenarkan Mafrel membuat apa-apa ulasan tentang apa-apa salah laku kakitangan suruhanjaya tersebut ketika menjalankan tugas pada hari pengundian.
"Syarat itu tidak dapat diterima Mafrel kerana ia tidak berlaku dalam misi di peringkat antarabangsa, dan kita tidak terikat dengan media-gap," katanya.
Beliau juga menjelaskan Mafrel akan menyediakan laporan awal mengenai PRU-12 dalam tempoh 30 hari selepas pengundian.
Menurutnya laporan tersebut akan diserah kepada SPR dalam tempoh tidak lebih daripada tiga bulan selepas pilihan raya berlangsung.
Mafrel menjalankan tugas pemerhatian PRU sejak 2004 biar pun tidak diberi sedikit pun dana untuk membolehkan petugas menjalankan tanggungjawab dengan lancar.
Lebih 6,000 pemerhati Mafrel bertugas pada PRU-12 dengan tumpuan di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. - tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan