HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2008

Pegawai kanan polis terima rasuah RM75,000 ditahan BPR
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis dari Ibupejabat Polis Dearah (IPD) Gombak dekat sini ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Selangor petang tadi kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM75,000 daripada seorang anggota sindiket curi kereta.

Pengarah Siasatan Ibu pejabat BPR Datuk Shukri Abdul berkata pegawai kanan berusia lingkungan 50an itu ditahan pukul 1 petang di IPD berkenaan dan terus dibawa ke pejabat BPR Selangor untuk siasatan.

Beliau berkata pegawai kanan itu disyaki menerima suapan bagi tidak mengenakan tindakan ke atas sindiket curi kereta tersebut.

"Kita akan menahannya selama 24 jam bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata sekiranya selepas 24 jam dan siasatan mendapati pegawai itu perlu disambung penahannya, BPR akan mendapatkan perintah tahanan reman di bawah 117 Kanun Acara Jenayah esok.

Sementara itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor SAC II Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Tiada ulasan: