HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Mac 2008

Mampat serah Memorandum Rakyat, tanda sokong pada istana
Awang Harun


TERENGGANU (Hrkh) - Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengetuai 30 Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Terengganu telah dipekenankan mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Zainal Abidin bagi menyerahkan Memorandum Rakyat.

Pada hari tersebut ribuan rakyat Terengganu tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama menyambut keberangkatan pulang Tuanku Mizan bersama Putera dan Puterinya ke Terengganu.

Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah, 36, berkata baginda Tuanku Sultan Mizan pekenan menerima rombongan Mampat bagi menyampai Memorandum Rakyat tersebut.

Menurutnya, majlis tersebut dipindahkan dari bilik VVIP di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke lokasi Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Setiu semalam.

"Kami (Mampat) bergegas ke Terengganu International Endurance Park untuk menyampaikan Memorandum Rakyat setelah dipekenan oleh baginda Tuanku Sultan Mizan.

"Alhamdulillah, Mampat berjaya menyampaikan hasrat rakyat bagi menyatakan sokongan dan berdiri teguh di belakang Tuanku," ujarnya ketika ditemui Harakah selepas penyerahan memorandum tersebut kepada Setiausaha Sulit Sultan, di Lembah Bidong, Setiu.

Antara isi kandungan Memorandum Rakyat tersebut menyatakan pendirian teguh di belakang Tuanku dalam apa keadaan bagi mempertahankan kedaulatan dan ketinggian maruah Istana.

Selain itu, katanya memaklumkan terdapat sebidang kain rentang sepanjang 50 meter x satu meter dan empat kain rentang tiga meter setengah x satu meter yang mengandungi tandatangan rakyat.

Menurutnya, tandatangan itu tanda taat setia rakyat yang menyokong kebijaksanaan Tuanku dan Istana dalam menangani kesulitan politik negeri pasca Pilihan Raya Umum Ke-12.

Tinjauan Harakah pada hari keberangkatan pulang baginda Tuanku Sultan Mizan dan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin itu sejumlah lebih 40,000 rakyat menyambutnya.

Gema 'Daulat Tuanku' serta diselangi dengan takbir memuji kebesaran Allah SWT turut dilaungkan di samping pemasangan kain sepanduk, bennar dan riben kuning. - mks.

Tiada ulasan: