HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mac 2008

Jangan terlibat perhimpunan haram


KUALA TERENGGANU - Polis memberi amaran kepada penyokong kedua-dua pemimpin UMNO yang terlibat dalam kemelut pemilihan jawatan Menteri Besar Terengganu supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan haram di mana-mana tempat di negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob meminta para penyokong pemimpin terlibat supaya mengawal perasaan untuk mengelak daripada melakukan sebarang perbuatan menyalahi undang-undang yang boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, mulai hari ini tiada sebarang permit untuk perhimpunan dikeluarkan, oleh itu semua pihak dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Polis tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan tanpa permit, mana-mana pihak yang ingkar, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perhimpunan yang dilakukan oleh penyokong Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Jusoh di hadapan kediamannya di sini semalam.

Beliau memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perhimpunan yang berlaku semalam.

Dalam perkembangan sama beliau turut memberitahu mendapat maklumat mengenai rancangan penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, untuk mengadakan perhimpunan di Kemaman hari ini bagi meraikan pemilihan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).

Ayub menasihatkan mereka yang terlibat supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia adalah perhimpunan haram.

‘‘Jangan keluar atau buat apa-apa, polis anggap itu perhimpunan haram, tiada permit dikeluarkan dan polis juga tidak benarkan sebarang perhimpunan melibatkan kain rentang dan sepanduk,” ujarnya.

Beliau meminta supaya jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan berikutan kemelut ini dengan menangguk di air keruh untuk menimbulkan kekacauan.

Menurutnya, situasi keselamatan di Terengganu setakat ini berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Tiada ulasan: