HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2008

Zaid: Cadangan minta maaf bukan untuk mengaibkan seseorang


PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini, Sabtu berkata cadangan beliau bagi Kerajaan Persekutuan meminta maaf kepada mereka yang menjadi mangsa dalam krisis badan kehakiman 1988 "tidak harus dianggap sebagai cubaan untuk mengaibkan seseorang atau malahan untuk memperbetulkan legasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad".

"Kita patut melihat ini secara positif. Masa telah berubah. Negara telah berubah, kita perlu melakukan perubahan terhadap institusi kita badan kehakiman, khidmat perundangan, polis, Parlimen dan semua institusi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, Sabtu.

Sidang akhbar itu diadakan oleh Zaid sebagai respons kepada pelbagai maklum balas yang beliau terima menerusi surat dan kenyataan, termasuk daripada Dr Mahathir, yang beliau dakwa mempersoalkan motif cadangan beliau yang mahu kerajaan meminta maaf kepada para hakim yang dipecat pada 1988.

Beliau menegaskan bahawa "pembaharuan ini bukan untuk menggariskan mesej politik atau mengaibkan seseorang. Akan terdapat banyak lagi perkara di masa lepas yang kami akan cadangkan untuk diperbetulkan".

Katanya sokongan terhadap cadangan itu oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abbas dan lainnya termasuk Majlis Peguam, menunjukkan cadangan beliau itu adalah amat bagus dan "saya fikir kita perlukan teruskan dengan permohonan maaf ini".

Pada 22 Mac, Zaid, yang baru dilantik sebagai menteri Kabinet yang bertanggungjaab bagi badan kehakiman, mencadangkan bagi kerajaan meminta maaf kepada mereka yang menjadi mangsa dalam krisis badan kehakiman pada 1988 yang membawa kepada pemecatan Salleh dan lima hakim Mahkamah Agung Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

Beliau berkata idea ini bukannya baru dan cadangan itu selaras dengan usaha untuk kerajaan "membuat satu perubahan dalam badan kehakiman bagi memberi keyakinan kembali kepada rakyat bahawa badan kehakiman negara mempunyai hakim-hakim yang berkebolehan, amanah, tidak rasuah yang sanggup mempertahankan hak kebebasan dan hak keluhuran undang-undang di negara ini.

"Kita nak hakim tersebut, bukan hakim-hakim yang boleh dibeli, boleh diarah, tiada prinsip atau integriti. Saya harap tiada orang cadang seolah-olah motif saya motif tak baik, katanya.

Mengenai komen Dr Mahathir dalam akhbar semalam mengenai cadangannya itu, Zaid berkata beliau tidak tersinggung dengan komen Dr Mahathir dan menambah kata "saya amat menyanjungi dan menghormati beliau. Beliau telah banyak berjasa kepada negara ini tetapi kita perlu teruskan kehidupan".

"Saya tidak pernah melakukan tindakan tidak betul. Banyak isu kontroversi yang beliau laksana, saya sokong. Semasa krisis Perlembagaan dengan RajaRaja Melayu pada tahun 1990, "orang lain takut, saya bersama (beliau). Saya pertahankan cadangan beliau dan cadangan Perlembagaan," katanya.

Zaid berkata cadangan untuk meminta maaf itu "bukan bertujuan untuk memalukan sesiapa atau bukti sesuatu tetapi teras kepada hasrat pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ubah pentadbiran perundangan negara.

"Mereka mahu melakukan perubahan dalam bidang perundangan bagi pembaharuan badan kehakiman. Kita patut beri peluang kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa Zaid, yang ketika itu Presiden Persatuan Peguam Muslim, telah menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh kerajaan pada 1988, Zaid berkata itu adalah tidak betul.

"Itu adalah rumusan mereka. Mereka membuat kesimpulan daripada sokongan saya terhadap kesahihan tribunal, jadi dengan itu mereka menyokongnya. Apa pun, saya mahu katakan ini. Sekiranya saya pernah melakukan perkara yang salah terhadap Tun (Salleh) dan hakim-hakim yang lain, saya bersedia untuk minta maaf," katanya.

Beliau berkata perbuatan merendah diri ini adalah perlu sebagai langkah pertama dan menurutnya "jika kita tidak bersedia untuk berbuat demikian, kita akan berada dalam keadaan seperti di masa lalu. Kita tidak akan berubah".

"Saya telah banyak kali katakan di Parlimen dan juga di tempat-tempat lain bahawa kita patut minta maaf bagi apa yang berlaku itu. Saya sendiri, jika saya ada berkata sesuatu yang menyinggung Tun Salleh atau hakim-hakim lain, jika saya telah terlepas pandang dengan melakukan perbuatan itu sepertimana yang saya pernah katakan di Parlimen, saya minta maaf," katanya.

Mengenai Suruhanjaya Siasatan Di-raja terhadap klip video Lingam, yang prosidingnya berakhir bulan lepas, katanya kerajaan masih belum menerima laporan daripada suruhanjaya itu.

Pengerusi suruhanjaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor pada hari terakhir prosiding pada 15 Februari berkata, laporan akan diserahkan kepada Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 11 Mac. BERNAMA

Tiada ulasan: