Istana lantik Ahmad Said jadi MB Terengganu, kroni Idris boikot?
Awang Harun
KUALA TERENGGANU (Hrkh) - Selepas 14 hari Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu isu perlantikan jawatan Menteri Besar Terengganu menjadi barah yang kini menjadi kemelut dalaman kepada parti itu.
Semalam pihak Istana telah bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar sekaligus menamatkan era kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh satu penggal.
Harakahdaily difahamkan, Pejabat Sultan Terengganu semalam telah mengeluarkan satu kenyataan bagi pelantikan tersebut dan majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan di Istana Tamu, Batu Burok, jam 8.00 pagi ini.
Namun begitu, laluannya tidak mudah kerana pelantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu itu akan mendapat tentangan dari kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata 23 Adun BN Terengganu akan memboikot majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Tamu tersebut.
Menurutnya, boikot terhadap perlantikan tersebut akan dibuat jika Idris Jusoh tidak dilantik semula bagi jawatan Menteri Besar itu.
Katanya, semua 23 wakil rakyat (Adun) BN hanya akan menyokong Idris Jusoh sebagai calon MB Terengganu dan menentang bagi nama-nama lain.
"Kami semua menyokong kepimpinan Idris Jusoh dan ada di kalangan wakil rakyat kami yang sanggup meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
"Semua wakil rakyat BN Terengganu kecuali Adun Kijal (Ahmad Said) telah mengadakan perjumpaan dan kami ingin menegaskan bahawa kami sebulat suara menyokong dan berdiri teguh di belakang Idris sebagai Menteri Besar Terengganu. Tiada calon lain yang kami sokong.
"Jadi mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada Idris, kami tidak akan menerimanya. Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah jawatan Menteri Besar) jika Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," tegasnya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman, dekat sini, hari ini.
Spekulasi mengenainya bermula ekoran kegagalan Idris sendiri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguhkan pada saat-saat akhir.
Senario tersebut menjadi teka-teki berhubung kedudukan Idris sebagai MB Terengganu dan beberapa nama telah disebut bakal menggantikannya.
Harakahdaily difahamkan, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Ahmad Said, Dato' Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Dato' Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu).
Namun begitu, sumber Harakah memaklumkan semua calon MB tersebut menarik diri serta berkemungkinan akan berhadapan dengan Idris Jusoh kecuali Ahmad Said./wann
Tiada ulasan:
Catat Ulasan