HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

Idris dakwa dapat sokongan PM dan TPM sebagai MB Terengganu


KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh berkata beliau mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti berbanding Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said berhubung pelantikan sebagai Menteri Besar.

Idris, yang juga ADUN Jertih, berkata beliau mendapat "perkenan" daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila keduadua pemimpin tertinggi itu, menghubunginya malam Sabtu.

"Saya tahu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersamasama saya... saya mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti dan juga anggota-anggota Dewan Undangan Negeri serta rakyat... itu yang penting.

"Rakyat menyokong apa yang sedang kita laksanakan," katanya sebagai mengulas kedudukan Ahmad, 51, yang menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di sini, pagi Ahad.

Ahmad menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua MPPR, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota majlis iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Mengulas lanjut, Idris berkata beliau akan mendapatkan nasihat daripada peguam berhubung pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar, sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Saya akan melihat implikasi yang dapat ditafsirkan mengikut undangundang di sebalik apa yang berlaku kerana apa yang saya tahu, saya masih mendapat sokongan daripada 22 ADUN dan rakyat juga tetap bersama saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Pada masa yang sama, Idris berkata pihaknya akur dan hormat dengan keputusan MPPR yang melantik Ahmad untuk memegang jawatan utama itu.

Mengenai hubungannya dengan Ahmad, Idris berkata wakil rakyat Kijal itu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri ketika beliau menjadi Menteri Besar pada penggal lepas, adalah rakan baiknya sejak sekian lama.

Bagaimanapun, kata Idris, beliau terkilan kerana sejak nama Ahmad disebutsebut bakal menjadi Menteri Besar Terengganu, beliau langsung tidak menghubunginya.

Ketika ditanya sama ada isu pelantikan Menteri Besar itu akan menimbulkan konflik antara Umno dan pihak istana, Idris berkata:

"Saudara (media) boleh buat tinjauan sendiri kerana saudara sebagai penulis lebih tahu... kita boleh buat andaian sendiri."

Sementara itu, semua Ketua Umno Bahagian di Terengganu kecuali Besut menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata mereka sebulat suara menyokong pemilihan Ahmad kerana percaya beliau mampu menerajui kepimpinan negeri itu.

Selain Tengku Putera selaku Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman ialah Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu).

"Saya tidak dapat menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu (Datuk Wan Farid Wan Salleh), tetapi saya percaya beliau juga menyokong pelantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar.

"Kami KetuaKetua Umno Bahagian memberi jaminan untuk memastikan beliau (Ahmad) mendapat sokongan daripada anggotaanggota Umno dan berharap rakyat turut memberi sokongan," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Tengku Putera berpendapat pemilihan Ahmad merupakan penyelesaian yang bijak dilakukan oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) berhubung kemelut pemilihan Menteri Besar Terengganu demi kepentingan rakyat Terengganu.

Beliau percaya anggotaanggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga akan menyokong pelantikan Ahmad jika mereka mendapat gambaran sebenar berhubung pemilihan wakil rakyat Kijal itu.

"Ada ADUN yang tidak mendapat maklumat (gambaran) sebenar. Kami berharap semua ADUN ini akan bersatu kerana yang lebih penting ialah kepentingan parti bukan individu. Kepimpinan silih berganti," katanya.

Tengku Putera juga menyambut baik usaha yang dilakukan Abdullah Najib dalam usaha untuk menguatkan Barisan Nasional (BN) Terengganu dan merakam penghargaan serta terima kasih kepada Idris dalam memajukan negeri itu ketika menjadi Menteri Besar pada penggal lepas.

Tengku Putera menasihatkan Idris supaya bersabar dan menerima keputusan yang dibuat kerana sebagai anggota parti, beliau sepatutnya boleh bekerja walaupun tanpa jawatan.

"Seperti kami yang tidak bertanding (dalam pilihan raya umum lepas), masih boleh bekerja kerana yang penting, kita hendak memastikan BN dan Umno kuat," katanya sambil mengharapkan anggotaanggota Umno di negeri ini supaya tidak cuba menimbulkan masalah berhubung perkara itu.

Pada masa yang sama, beliau berharap para pemimpin Umno di luar negeri itu supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung kemelut itu kerana apa yang diputuskan mengenai pelantikan Ahmad adalah sebagai memenuhi kehendak rakyat negeri itu.

Ketika ditanya bahawa Ahmad bakal dikenakan tindakan jika mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Tengku Putera berkata: "Saya percaya, perkara itu tidak akan berlaku."

Semalam, Setiausaha Agung BN dan Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Ahmad boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana mengingkari ketetapan Abdullah selaku Presiden Umno merangkap Pengerusi BN sebelum ini, yang bersetuju dengan pelantikan Idris sebagai Menteri Besar. BERNAMA

Tiada ulasan: