HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mac 2008

Buka jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno untuk ditandingi
Oleh Bernama


Kuala Lumpur: Umno Bahagian Cheras menyarankan semua jawatan tertinggi parti itu di semua peringkat, termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan.

Cadangan itu adalah satu daripada 12 resolusi yang dilulus oleh Umno Bahagian Cheras pada Mesyuarat Khas Empat Peringkat di sini, Selasa malam.

Ketua Umno bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee berkata cadangan yang akan dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno itu dibuat berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum baru-baru ini, di samping selaras dengan sistem demokrasi yang diamal dalam parti.

"Kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti. Jika ada pertandingan, kita boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Beliau yakin pertandingan untuk dua jawatan tertinggi itu tidak akan memecah belahkan parti, malah akan mengukuhkan perpaduan dalaman dan meningkatkan maruah mereka yang menang.

"Biar rakyat tahu Umno amalkan demokrasi sihat, biar orang bertanding.

Pertandingan akan memberi ruang untuk ahli-ahli Umno di akar umbi untuk menterjemahkan kepimpinan sebenar dalam Umno dan kita mahu pemimpin kita betul-betul mendapat sokongan akar umbi," katanya.

Mesyuarat itu juga meluluskan supaya sistem kuota bagi pertandingan jawatan parti yang diamalkan kini dimansuhkan dan harus kembali kepada prinsip asal iaitu mereka yang ingin bertanding boleh berbuat demikian jika mendapat dua pencalonan.

"Kalau kita ada sistem kuota, kita menidakkan orang yang ingin menawarkan diri untuk bertanding. Jika kita mansuhkan, ramai yang akan bertanding dan ahli-ahli mempunyai pilihan untuk memilih pemimpin yang mereka kehendaki," katanya.

Syed Ali berkata resolusi yang dibuat bahagian itu turut mencadangkan supaya satu Perhimpunan Agung Khas diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kepimpinan Umno mendengar secara jelas dan terbuka kritikan dan saranan anggota parti untuk memantapkan semula organisasi parti.

Resolusi lain yang diluluskan ialah meminta seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Umno supaya memelihara, mempertahan dan menghormati kedaulatan institusi Kesultanan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Tiada ulasan: