HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

"Perlantikan MB harus ikut suara majoriti DUN" Gani Patail
Oleh Bernama


KL: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata dalam soal pemilihan Menteri Besar Terengganu, Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja adalah terikat dengan peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan sesiapa jua daripada ahli-ahli yang mendapat kepercayaan kebanyakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu hendaklah dilantik.

Beliau berkata proses pelantikan Menteri Besar merupakan satu proses yang ditentukan oleh undang-undang sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan mengikut prinsip-prinsip demokrasi berparlimen, seseorang yang mendapat sokongan majoriti Adun hendaklah dilantik sebagai Menteri Besar.

"Dalam perkara ini, YB Dato' Seri Idris bin Jusoh mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 22 ahli Dewan Undangan Negeri, kata Abdul Gani dalam satu kenyataan Ahad malam.

Abdul Gani berkata dalam hubungan ini, sekurang-kurangnya 22 daripada 32 orang Adun yang dipilih dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, telah pada 22 Mac menandatangani satu surat yang ditujukan kepada Pemangku Raja Negeri Terengganu Darul Iman dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, menzahirkan sokongan mereka kepada pencalonan dan pelantikan Idris sebagai Menteri Besar Terengganu.

Kenyataan empat perkara Peguam Negara itu berikutan pelantikan Adun kawasan Kijal Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja Negeri Terengganu Darul Iman pada hari ini (23 Mac).

Abdul Gani berkata surat itu telah dirujukkan kepada beliau dan beliau percaya bahawa Idris telahpun mendapat nasihat perundangan mengenainya.

"Apa-apa tindakan yang diambil hendaklah mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan," katanya.

Abdul Gani juga berkata menurut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kewajipan beliau sebagai Peguam Negara untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai apa-apa perkara undang-undang.

"Atas sifat yang sedemikian, saya akan memohon menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menjelaskan mengenai fakta-fakta yang telah dikemukakan kepada saya dan berkenaan dengan undang-undang yang berhubungan dengan perkara tersebut.

"Walaupun perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Majlis Penasihat Pemangku Raja dan keputusan dibuat oleh majlis tersebut, saya berpendapat bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewajarnya dimaklumkan agar Baginda sedia maklum dan lebih jelas akan fakta dan undang-undang mengenai perkara ini," kata beliau.

Tiada ulasan: