HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

Wakil rakyat Selangor harus hormati institusi kesultanan sebagai teladan: Sultan Selangor


KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu wakil rakyat, sebagai perantara di antara baginda dan rakyat, supaya menghormati dan memelihara Institusi Kesultanan sebagai teladan yang baik kepada rakyat.

"Hari ini rakyat telah menentukan siapa yang patut mentadbir negeri Selangor yang maju dan makmur ini.

"Marilah kita sama-sama melayari bahtera kemajuan yang telah kita capai ini dengan penuh azam dan tekad supaya negeri Selangor yang kita kasihi ini akan terus maju dan rakyatnya akan dapat bersama-sama menikmati dan berkongsi kemakmuran ini," titah baginda di Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Ahliahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah di sini, Isnin.

Baginda bertitah bahawa pentadbiran negeri adalah berasaskan adat dan budaya di mana Institusi Kesultanan adalah amat penting sebagai tunjak keamanan negeri.

Ini kerana sungguh pun rakyat di negeri ini terdiri daripada mereka yang berbilang kaum dengan adat, budaya dan agama yang berlainan, mereka adalah di bawah naungan Sultan sebagai payung untuk mereka berteduh dan berlindung, titah baginda.

"Oleh itu Beta menyeru kepada rakyat yang Beta kasihi supaya sentiasa menghormati akan adat dan budaya yang telah kita warisi sejak turun temurun.

"Kehalusan kebudayaan yang kita warisi ini serta hormatmenghormati antara satu dengan lain akan mengeratkan lagi keharmonian dan mengekalkan ketenteraman negeri Selangor," tegas Baginda.

Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa baginda tidak berkenan rakyat yang bersikap ekstremis kerana ia akan merosakkan negeri Selangor dan baginda tidak akan teragak-agak untuk menitahkan pihak polis atau pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan keras terhadap golongan ekstremis ini.

Baginda turut mengulangi ingatannya supaya rakyat tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai medan berpolitik.

Masjid dan surau adalah tempat suci yang digunakan untuk beribadah dan janganlah ia digunakan sebagai gelanggang bagi partiparti politik mengadakan ceramah dan perkara lain untuk kepentingan politik mereka, titah baginda.

"Beta hanya berkenan mereka yang telah dikurniakan tauliah oleh Beta dibenarkan untuk menjadi Imam dan membaca khutbah di masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor ini.

"Perkara ini telah Beta sarankan beberapa kali dalam titah ucapan Beta dan Beta berharap akan dipatuhi oleh rakyat Beta yang beragama Islam supaya kesucian agama Islam dapat dipelihara dan tidak dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," tegas Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menekankan bahawa rakyat Selangor mahukan kualiti kehidupan yang lebih elok dalam suasana alam sekitar yang bersih dan teratur, oleh itu segala rintihan mereka mestilah diatasi dengan segera oleh wakil-wakil rakyat. BERNAMA

Tiada ulasan: