HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mac 2008

Pilihan raya PBT dikaji
Oleh HATA WAHARI


KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pernah dilakukan 40 tahun lalu.

Menterinya, Datuk Ong Ka Chuan berkata, rumusan dan kajian itu kemudian akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan segera sama ada ia perlu dilaksanakan atau tidak.

"Sudah 40 tahun negara ini tidak mengadakan pilihan raya peringkat PBT, oleh itu adalah wajar pandangan daripada orang ramai dikumpul sebelum ia dapat dibentangkan ke Kabinet untuk diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting menyerahkan tugas kepada Ka Chuan.

Ka Ting yang merupakan Presiden MCA dan adik kepada Ka Chuan tidak mahu dilantik menganggotai Kabinet baru kerana mahu memikul tanggungjawab selepas parti itu mengalami kekalahan besar pada pilihan raya umum lalu.

Turut hadir ialah Timbalan Menterinya, Datuk Robert Lau Hoi Chew dan Datuk Hamzah Zainuddin.

Mengenai sebarang perubahan dalam peruntukan dan pentadbiran PBT di empat negeri baru yang dikuasai pembangkang iaitu Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, beliau menjelaskan, pasti ada perubahan di negeri tersebut.

"Tidak tahu setakat mana perubahan namun mesti ada satu penyelarasan dan perkara ini perlu dirujuk kepada Kabinet," jelasnya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa sebarang perubahan yang berlaku tidak akan menjejaskan kepentingan rakyat.

"Kementerian akan meneruskan dasar dan budaya kerja yang diguna pakai kementerian sebelum ini.
"Saya akan mengekalkan dasar-dasar serta budaya cemerlang yang dipupuk oleh menteri sebelum ini dan akan meneruskan usaha gigih bagi mengekalkan serta membaiki keberkesanan kementerian dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau menambah, perkara utama yang diberi perhatian ialah sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Dalam pada itu ditanya berhubung perbincangan hangat mengenai kronisme yang membabitkan beliau dan Ka Ting, katanya, beliau tidak akan melayan perkara itu.

Menurutnya, beliau kini memberi tumpuan kepada tugas yang diamanahkan untuk menerajui kementerian tersebut.

Tiada ulasan: