Lagi wakil BN keluar parti?
Selepas tersebar berita ahli parlimen Serian kecewa kerana tidak tersenarai dalam barisan kabinet dan mungkin menyertai pembangkang, kini ahli parlimen Mas Gading, kedua-duanya di Sarawak, pula diura-urakan berada dalam nasib yang sama.
Datuk Dr Tiki Lafe, dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), tidak dilantik semula menganggotai kabinet seperti diumumkan Selasa.
Bekas timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu kini bercuti dan enggan mengesahkan atau menafikan laporan beliau bakal meninggalkan BN.
Beliau dipandang tinggi dan berpengaruh luas apabila berjaya menang di lubuk pembangkang itu dengan menewaskan Dr Patau Rubis, seorang lagi ahli politik berpengaruh, pada 1999 dan 2004.
Sementara itu, seorang pengarang kanan akhbar harian memberitahu Malaysiakini hari ini, ada arahan agar tidak menyiarkan laporan atau kenyataan Tiki kerana ia boleh menggoncang kestabilan politik negeri itu.
Pengerusi BN negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dikhabarkan "sangat tidak gembira" dengan perkembangan terbaru itu.
Sumber itu juga menyebut Tiki masih di Kuala Lumpur dan akan bertolak ke luar negara.
Semalam ahli parlimen Serian, Richard Riot, dilaporkan telah keluar daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), parti komponen BN, bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri.
Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam bagaimanapun menafikannya dengan menyatakan parti itu belum menerima surat Richard.
Sebelum itu Malaysiakini melaporkan, memetik satu sumber dekat dengan Richard, wakil Serian telah menyerahkan surat keluar parti kepada Chan pada hari yang sama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinetnya.
Chan kemudian dilaporkan menghantar setiausaha agungnya Sim Kheng Hui pergi memujuk Richard tetapi gagal menemuinya, kata sumber itu.
Hari ini Chan dilaporkan berkata Richard gagal dihubungi dan sehingga kini ahli parlimen itu sendiri belum membuat kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, Richard hari ini dikatakan tidak jadi melepaskan jawatan.
Dalam satu kenyataan terkini, SUPP berkata ahli parlimen itu telah menghubungi Chan dan melahirkan rasa kesal berhubung laporan akhbar yang menyatakan beliau telah meninggalkan parti itu.
Kenyataan itu dikeluarkan ketua publisiti parti itu Alfred Yap.
Richard sendiri masih berdiam diri. Beberapa percubaan Malaysiakini menghubunginya gagal.
Sementara itu, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berbincang dengan wakil-wakil BN di Semenanjung termasuk Perak, bukan hanya dari Sabah dan Sarawak, berhubung kemungkinan perpindahan mereka kepada parti-parti pembangkang.
Menurut satu laporan, Anwar berkata bukan tradisi partinya membeli wakil-wakil rakyat tetapi "ia menjadi amalan Umno dan BN".
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan hormat ke pejabat Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.
Turut hadir, lapor laman web New Straits Times, presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan naib presidennya Dr Lee Boon Chye
Tiada ulasan:
Catat Ulasan