Umno ajar rakyat derhakai raja, berbohong
Abdul Halim Mohd Rashid
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Umno bukan sahaja menderhaka kepada raja malah berbohong kepada rakyat kononnya calon-calonnya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu telah ditapis.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata demikian ketika mengulas tindakan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno di Terengganu yang mengancam hendak memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar yang diperkenankan oleh Sultan negeri itu, Datuk Ahmad Said.
"Sebelum ini, bukan kepalang Umno mengerahkan orang-orang yang boleh diperdayakannya supaya menunjuk perasaan. Kononnya hendak membela Sultan yang mereka dakwa diderhakai di Perak dan Selangor.
"Sekarang mereka sendiri yang berkonspirasi bersikap biadab dan menderhakai Sultan.
Tunjuk perasaan
"Mengapa tak tunjuk perasaan? Tunjuklah puas-puas!" katanya merujuk kepada tindakan Umno yang sebelum ini menunjuk perasaan membantah tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengancam bahawa partinya akan memulaukan upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak.
Lim kemudiannya dilaporkan telah memohon maaf kepada Sultan dan Raja Muda Perak.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan, jika selepas ini pihak lain tidak menghormati dan bersikap biadab kepada raja-raja Melayu, ia sebenarnya "diajar oleh Umno sendiri".
"Umno yang menunjukkan contoh sikap kurang ajar dan biadab kepada Sultan sehingga mengancam meletakkan jawatan dan membiarkan pilihan raya diadakan semula".
Umno, kata Mahfuz, patut mencari punca mengapa istana Terengganu enggan memperkenankan perlantikan semula Datuk Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terangganu.
"Apa yang menyebabkan Sultan enggan memperkenankan Idris menjadi Menteri Besar? Adakah Sultan merasa bekas Menteri Besar Terengganu itu telah menyeleweng? Adakah kerana itu Sultan begitu kecewa sehingga tidak mahu memperkenankan Idris?" tanya beliau.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Terengganu sebenarnya diperintah oleh menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dan rakan niaganya, Patrick Lim yang dipanggil Patrick Badawi oleh Dr Mahathir.
Laporan BPR
Mengenai laporan bahawa Adun Umno Terengganu telah mengemukakan adua kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat salah laku Ahmad dalam dua projek di Kijal, Mahfuz berkata, Umno ternyata tidak mengemukakan calon yang benar-benar bersih di dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
"Umno bukan sahaja mengemukakan calon yang tidak bersih sepenuhnya malah berbohong pula kepada rakyat kononnya mereka telah mengemukakan calon-calon yang ditapis.
"Mengapa Idris sebagai Ketua Perhubungan Umno Terengganu mengemukakan calon yang kini pihaknya sendiri membuat aduan kepada BPR tentang salah lakunya? Sebelum ini mengapa tidak lapor?
"Benarkah Idris menerima ugutan dari Ahmad supaya Adun Kijal itu dicalonkan dalam pilihan raya umum baru-baru ini? Jika benar Ahmad mengugut Idris, mengapakah Idris diugut? Apakah kesalahan Idris sehingga beliau boleh diugut?" Mahfuz mempertikaikan.
Tidak layak
Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai bukti bahawa Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak layak lagi menerajui pentadbiran negara ini.
"Sebelum ini, Raja Perlis memberikan 'undi tidak percaya' kepada Abdullah apabila menolak cadangan Abdullah supaya melantik (Datuk Seri) Shahidan (Kassim) sebagai Menteri Besar negeri itu.
"Sekarang, Sultan Terengganu pula menolak Idris yang dicadangkan oleh Abdullah.
"Abdullah mesti ingat, tamparan hebat ke atas kepimpinannya tidak datang dari istana Perlis dan Terengganu sahaja.
"Sebelum itu, rakyat di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah menolak calon-calon Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Abdullah sehingga pentadbiran BN di negeri-negeri tersebut telah diambil alih oleh kerajaan-kerajaan rakyat manakala Kelantan tetap kekal di tangan PAS.
"Itu tidak termasuk Kuala Lumpur di mana BN hanya memenangi satu kerusi sahaja," katanya.
Mahfuz juga mempersoalkan tindakan double standard pihak polis.
"Mereka yang dipergunakan oleh Umno untuk berdemonstrasi di Pulau Pinang, Perak dan Selangor diberikan layanan terbaik dan paling istimewa oleh polis, sedangkan di Terengganu polis begitu bengis menangkap rakyat yang hanya memasang sepanduk menyokong Sultan mereka," kata beliau yang begitu marah dengan sikap polis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan