HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

Adun Galas beransur pulih
Oleh Bernama


KB: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kawasan Galas, Chek Hashim Sulaima, 44, yang cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 36, Jalan Gua Musang-Kuala Krai Jumaat lepas, kini dilaporkan semakin baik.

Timbalan Pengarah Klinikal Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Mohamad Ismail berkata Chek Hashim yang mengalami kecederaan dalaman yang serius sudah sedarkan diri sepenuhnya dan semakin menunjukkan perkembangan positif untuk rawatan selanjutnya.

"Bagaimanapun beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi(ICU) di sini untuk pemerhatian khusus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya, isteri Chek Hashim, Aida Zakaria, 40, dan anaknya, Amsha, 2, yang turut cedera parah dalam kejadian itu dan menerima rawatan di hospital berkenaan juga dilaporkan semakin baik.

Dr Mohamad berkata Amsha yang juga mengalami kecederaan dalaman masih ditempatkan di ICU untuk rawatan lanjut manakala Aida yang mengalami luka di kepala, patah kaki kiri dan patah tulang selangka kini ditempatkan di wad 28 hospital berkenaan.

"Anak beliau juga telah sedarkan diri manakala isterinya kini semakin sihat," katanya.

Chek Hashim dan keluarga Jumaat lalu terlibat dalam kemalangan ketika keluarga itu dalam perjalanan menghala ke Kota Baharu, apabila kereta jenis Mercedes yang dipandu Chek Hashim tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam parit sedalam tiga meter.

Tiga beranak terbabit dikejarkan ke HRPZ II kira-kira pukul 10 malam kelmarin, selepas menerima rawatan awal di Hospital Kuala Krai (HKK).

Sementara itu, dua lagi anaknya, Najibah, 12, dan Nadiah, 10, masing-masing menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Seorang lagi anaknya yang mengalami kecederaan dan dirawat di HGM, Naidi Alia, 4, sudah dibenarkan pulang.

Dalam pilihan raya baru-baru ini, Chek Hashim menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tiada ulasan: