HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Mac 2008

Gabungan parti alternatif mampu ganti kerajaan BN
Salmah Mat Husain


KOTA BHARU (Hrkh) - Parti-parti dalam pakatan Barisan Alternatif (BA) dan DAP diharap menjaga kemenangan yang diberi rakyat dengan baik bagi mempertahankan kejayaan pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

Ramai percaya BA boleh menjadi sebuah gabungan yang utuh seperti Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kerja sama erat yang sedia terjalin dalam BA bukan sahaja perlu diperkemaskan, sebaliknya menyusun gerak kerja yang lebih mantap.

"Rakyat mengharap kerajaan dipimpin oleh pemimpin yang telus setelah mereka kecewa dengan kerajaan BN. Gabungan BA boleh menggantikan kerajaan yang ada sekarang.

"Jadi kita berharap lima negeri termasuk Kelantan yang dipimpin PAS, KeADILan dan DAP menunaikan janji kepada rakyat seperti tertera dalam manifesto.

"Kejayaan BA kali ini sebagai satu percubaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Peluang semakin terbuka kepada BA," ujarnya pada sidang media sempena majlis kesyukuran dan makan malam di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Wan Abdul Rahim yang juga Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkata, kemenangan besar calon-calon BA merupakan satu percaturan baru dalam politik Malaysia.

Katanya, hasil sokongan masyarakat pelbagai kaum mereka boleh menerima calon BA dan DAP.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau mengumumkan Lim Guan Seng sebagai wakil peribadinya bagi masyarakat Cina dan Muhammad Nor bagi masyarakat Melayu dan lain-lain bangsa.

"Pelantikan Seng sebagai wakil peribadi saya sebagai satu hadiah untuk masyarakat Cina yang telah memberi sokongan padu kepada PAS pada pilihan raya umum lalu.

"Peningkatan sokongan itu begitu membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya," tambah beliau. - mj/mr

Tiada ulasan: