HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mac 2008

Levi: Selangor punya kuasa mentadbir, kata Khalid


KUALA LANGAT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan Selangor mempunyai "kuasa pentadbiran" untuk mengenakan levi sebanyak RM10 sebulan terhadap majikan untuk setiap pekerja asing yang mereka ambil bekerja.

Mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S.Subramaniam semalam bahawa kerajaan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan levi itu, beliau berkata bayaran pembiayaan untuk membawa masuk pekerja asing yang diuruskan oleh agensi-agensi pekerja asing adalah tinggi iaitu antara RM3,000 dan RM4,000 dan, bagi kerajaan Selangor, bayaran itu tidak munasabah.

Abdul Khalid berkata kerajaan Selangor merasa "bahana" daripada peningkatan kedatangan pekerja asing yang memberi kesan terhadap kemudahan seperti kesihatan, pendidikan dan jalan raya.

"Kami ingin menunjukkan kepada kerajaan pusat cara menyimpan rekod pendatang haram dengan adanya pembayaran (levi kerajaan negeri).

"Saya akan sediakan sistem maklumat pusat untuk menyimpan rekod mereka yang datang dan kerja di Selangor," katanya.

Abdul Khalid berkata beliau mempunyai pengalaman untuk berbuat demikian kerana beliau adalah antara mereka yang melaksanakan program pengkomputeran Jabatan Imigresen Malaysia satu masa dahulu dan usaha ini boleh membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata mungkin Kerajaan Persekutuan agak keberatan untuk menerima idea daripada parti yang berlainan daripada Barisan Nasional tetapi mereka perlu mendengar kehendak rakyat yang disalurkan melalui parti lain .

"Jika mereka idea lebih baik, kemukakanlah," katanya.

Abdul Khalid berkata berjuta ringgit dibayar oleh pekerja-pekerja asing kepada agensi yang membawa mereka masuk ke Malaysia dan kerajaan Malaysia yang mengutip levi , tetapi rata-rata ejen berkenaan tidak tahu di mana pekerja-pekerja yang dibawa masuk ditempatkan dan kebanjiran pendatang asing ke negara ini menimbulkan masalah kepada masyarakat.

"Walaupun pekerja-pekerja asing ini terutama yang masuk secara haram dihantar pulang oleh pihak kerajaan tetapi masalah ini tidak nampak selesai kerana mereka akan kembali semula ke Malaysia dan nampaknya pihak yang mengaut keuntungan daripada masalah ini ialah agensi perjalanan dan agensi pekerja-pekerja asing," katanya.

Mengenai bantahan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) terhadap rancangan kerajaan Selangor itu, Abdul Khalid berkata badan bukan kerajaan tempatan seperti SUARAM perlu mengutamakan kepentingan nasional bukannya menegakkan pendirian antarabangsa mengenai hak asasi manusia. BERNAMA

Tiada ulasan: