Anwar jamin pemberian kontrak lima negeri pembangkang secara telus, tiada komisen
Johari Jaafar
IPOH (Hrkh) - Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan lima kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS, KeADILan dan DAP akan mengamalkan pemberian kontrak secara telus dan tidak ada 'jalan belakang' untuk mendapatkan kontrak.
"Kelima-lima Kerajaan Negeri akan mengamalkan pendekatan yang sama, kita akan bersikap telus dalam pemberian kontrak dan pelabur-pelabur jangan bimbang tidak ada komisen yang diminta," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, di Pejabat Menteri Besar Perak semalam.
"Kita akan pastikan semua projek pelaburan di lima negeri, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan mendapat kelulusan segera dan dikendalikan secara telus.
"Kita juga akan memastikan proses pelaburan di kelima-lima Kerajaan Negerui ini berjalan licin dan tidak ada kebocoran," katanya lagi.
Menurut beliau lagi, kelima-lima kerajaan negeri memberi jaminan kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan akan mengwujudkan iklim pelaburan baik dengan harapan ianya dapat menggerakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
"Saya akan melawat negara Arab minggu depan serta menemui beberapa syarikat besar China dan perkara tersebut akan dimaklumkan kepada mereka bagi menarik minat mereka melabur di kelima-lima buah negeri ini," jelasnya.
Menurutnya lagi, kelima lima kerajaan negeri tersebut perlu menumpukan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Jika ianya gagal dilakukan kelima-lima negeri tidak akan dapat mengagihkan kekayaan dengan adil dan saksama kepada rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum yang baru lalu, katanya./wann.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan