HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Mac 2008

Jentera Felda didakwa dipergunakan untuk kempen BN dalam PRU
Basiron Abdul Wahab


TEMERLOH (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman mempersoalkan tindakan pengurusan Felda yang turut menjadi jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 March lalu.

Katanya, agensi berkenaan telah menggunakan segala kemudahan yang ada termasuk peralatan pejabat Felda dan kakitanganya bagi memastikan kejayaan BN dalam pilihan raya itu.

Malah, katanya pengurus Felda sendiri bertindak sebagai pengurus kempen yang bertindak sebagai pegawai penyelaras, yang memantau dan melaksanakan program dan aktiviti parti di semua tanah rancangan di samping pejabat Felda dijadikan bilik gerakan BN sepanjang tempoh berkempen yang dibuka sehingga jam dua pagi.

Turut terlibat adalah badan-badan di bawahnya seperti Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW), Belia dan sebagainya.

Perkara ini, tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi dilakukan dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Mazlan berkata, beliau dukacita kerana badan berkanun yang ditubuh untuk memajukan peneroka dan menggunakan wang rakyat untuk beroperasi tiba-tiba diperguna demikian rupa oleh pemimpin BN yang tidak bertanggungjawab.

Malah pengerusi Felda Dr Mohd Yusuf Noor sendiri mengakui dan berbangga kerana BN kekal memerintah sebagaimana dilapor media baru-baru ini.

Mazlan yang juga presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Se-Malaysia (Anak) bagaimanapun mengakui sebahagian besar tuntutan Anak telah dipenuhi Felda antaranya ialah menyediakan projek perumahan kepada generasi ke-2 Felda, menyediakan lot-lot tanah untuk generasi kedua dan sebagainya.

Ini, katanya adalah kejayaaan awal Anak yang baru ditubuhkan walaupun layanan Felda itu lebih berupa kempen pilihan raya tetapi Anak berharap Felda mengotakan janjinya itu.

"Pilihan raya kali ini betul-betul kena pada masanya kerana sebahagian tuntutan Anak telah diberi perhatian dan anak dipenuhi oleh Felda," katanya.

Menurut Mazlan, sebelum ini (semasa pilihan raya umum 1999) Umno/BN pernah berjanji dan memperuntukan satu kawasan perumahan bagi generasi kedua di Bera tetapi dilupakan begitu sahaja apabila BN menang sehingga papan tanda yang menunjukkan tapak projek berkenaan runtuh projek tidak juga dilaksanakan.

"Dulu kerajaan pernah berjanji untuk membina rumah khususnya kepada generasi ke-2 tetapi tidak dilaksanakan sehingga papan tanda projek runtuh, kini BN berjanji lagi dan diharapkan kali ini ia menjadi kenyataan," ujarnya ketika ditemui di pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, dekat sini.

Mazlan yang bertanding di kawasan parlimen Bera dalam pilihan raya lalu mendakwa, peneroka telah diberi rasuah dalam pilihan raya sehingga memaksa mereka terhutang budi dengan BN.

Katanya beliau telah mengesan wujudnya majlis penyerahan wang peneroka yang dibuat dalam tempoh berkempen antaranya termasuklah pengembalian wang lebihan baja, ses dan wang jualan kayu (getah) dan sebagainya.

"Wang itu adalah hak peneroka tetapi persoalanya mengapa Felda memilih untuk mengembaliknya semasa hari kempen pilihan raya, sehingga ia dilihat sebagai satu bentuk kempen BN.

"Jika Felda jujur dan tidak terlibat di dalam kempen BN, Felda boleh sahaja mengembalikan wang peneroka itu di luar tempoh kempen pilihan raya," katanya.

Menurut Mazlan, pengurusan Felda yang menjadi jentera kempen BN menimbulkan suasana tidak harmoni selepas pilihan raya dan dijangka ia akan meninggalkan kesan jangka panjang.

Ini kerana, sebahagian peneroka melihat pengurus Felda bukan lagi bebas, malah pengurus Felda dilihat setaraf Ketua Umno Cawangan, ini tetunya akan besan besar kepada pengurusan apabila mereka tidak lagi dihormati.

"itulah harga yang perlu dibayar oleh Felda mencampuri hak peneroka untuk berpolitik," katanya. - mns

Tiada ulasan: