HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

Senarai Penuh Exco Selangor Diumumkan
Oleh suarakeadilan


Shah Alam - Ahli-ahli Exco Negeri Selangor diumumkan sebentar tadi oleh pejabat Menteri Besar. Dari 10 kerusi exco, KeADILan diperuntukkan 4, DAP 3 dan PAS 3. Berikutan adalah senarai penuh:

1. YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim

Dato’ Menteri Besar .Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri , Belia & Sukan

YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim lahir pada tahun 1946 di Jeram, Selangor dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Ekonomi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.

YAB Tan Sri pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan di Permodalan Nasional Berhad termasuk Ketua Eksekutif Kumpulan dan sehingga 2003 merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad. Beliau juga merupakan Pengerusi Highlands and Lowlands dan Guthrie Ropel. Antara tanggungjawab yang disandang oleh YAB Tan Sri termasuklah anggota Jawatankuasa Eksekutif Unit Investment Fund dan ahli Financial Engineering Advisory Forum Bank Pembangunan Islam, Jeddah disamping anggota gantian Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC). Beliau juga berada di dalam lembaga Pusat Produktiviti Kebangsaan dan Lembaga Amanah Institut Kajiselidik Ekonomi Malaysia. Di dalam Parti Keadilan Rakyat, YAB Tan Sri memegang jawatan Setiausaha Agung. YAB Tan Sri Dato’ Khalid telahpun berkahwin dan mempunyai empat orang cahaya mata.

2. YB Teresa Kok Suh Sim

Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan

YB Teresa Kok, 43 tahun turut memegang jawatan Ahli Parlimen Seputeh sejak 1999.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia, Sarjana Muda Sains Politik serta Sarjana Falsafah dari Universiti Malaya. Beliau merupakan Setiausaha Kaukus Myanmar Antara Parlimen ASEAN dan aktif di dalam kegiatan hak asasi manusia. Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Terpilih Semakan Kod Penal dan Prosedur Jenayah di Parlimen. Pada masa yang sama beliau memegang jawatan Setiausaha Publisiti DAP dan Setiausaha Nasional Wanita DAP.

3. YB Dato’ Dr. Hassan bin Mohamed Ali

Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam

YB Dato’ Dr. Hassan Ali lahir pada 1947 di Selangor. Beliau mendapat Sarjana Muda Sastera Kepujian dari Universiti Malaya, Sarjana Sains Perancangan Bandar dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Doktor Falsafah dari University of Wisconsin, Amerika Syarikat. Beliau merupakan Pengarah Eksekutif Sabha Group Sdn. Bhd. Dan Akademi Keluarga Bahagia. Kini beliau merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sg. Burong pada penggal 1999-2004. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai 8 orang anak.

4. YB Yaakob bin Sapari

Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan

YB Yaakob bin Sapari berusia 47 tahun, tinggal di Seri Kembangan, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sains di dalam Perniagaan Tani dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Putra Malaysia, serta Diploma Pengajian Islam dan Siswazah Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kini merupakan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Agama Hulu Langat. Di dalam Keadilan beliau merupakan Timbalan Pengerusi Selangor dan Ketua Bahagian Puchong. Beliau sudah berkahwin dan dianugerahkan 8 orang cahaya mata.

5. YB Rodziah binti Ismail

Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi

YB Rodziah binti Ismail, 43 tahun, tinggal di Shah Alam, Selangor bersama suami dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia, Higher National Certificate in Childhood Education and Development dari Scotland dan Diploma Pendidikan Islam, Al Quran dan As Sunnah. Aktif di dalam masyarakat termasuk Persatuan Pengasih Berdaftar Malaysia, Persatuan Taska Selangor, Jawatankuasa Pencegahan Juvana dan Jemaah Islah Malaysia. Beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat.

6. YB Dr. Xavier Jayakumar a/l Arulanandam

Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin

YB Dr. Xavier Jayakumar, 55 tahun, tinggal di Klang, Selangor bersama isteri dan tiga orang anaknya. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pembedahan Pergigian. Beliau merupakan Setiausaha Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Malaysia dan Presiden Kelab Rotari Klang. Di samping itu beliau aktif di dalam Persatuan Hemodialisis Klang dan Education Welfare Reach Foundation. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan serta Ketua Bahagian Kota Raja.

7. YB Dr. Halimah binti Ali

Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan

YB Dr. Halimah Ali, 47 tahun , tinggal di Klang, Selangor bersama suami dan 6 orang anak. Beliau memperoleh Ijazah Perubatan dari Universiti Tasmania, Australia dan berkhidmat sebagai doktor di Hospital Klang. Beliau merupakan Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia. Kini beliau memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

8. YB Iskandar bin Abdul Samad

Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan

YB Iskandar Abdul Samad, 47 tahun, berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Beliau merupakan lulusan Ijazah Arkitek dari Humberside, United Kingdom dan pernah menjadi Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi MARA. Kini beliau merupakan Timbalan Persuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor dan Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan.

9 . YB Ronnie Liu Tian Khiew


Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan


YB Ronnie Liu, 50 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Beliau memperoleh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan kemudian berkecimpung di dalam bidang pengiklanan. Beliau aktif di dalam Jawatankuasa Bertindak Menara Transmisi Rawang, Jawatankuasa Bertindak Menentang Insinerator Broga, Kempen Anti Penswastaan Air dan Kempen Anti Penswastaan Hospital Awam. Beliau kini merupakan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

10. YB Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong

Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

YB Elizabeth Wong berusia 38 tahun, tinggal di Petaling Jaya, Selangor. Lulusan Sarjana Muda Sastera University of Sidney dan aktif di dalam NGO seperti Suara Rakyat Malaysia, Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan SOS Selangor. Beliau kini merupakan Ketua Penerangan Wanita Keadilan dan Ketua Penerangan Keadilan Bahagian Petaling Jaya Utara.

11. YB Eam Yong Hian Wah

Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram

YB Ean Yong Hian Wah, 29 tahun, lahir di Kajang, Selangor. Beliau memperoleh Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Bradford, United Kingdom. Penglibatan kemasyarakatan beliau termasuklah sebagai Pengerusi Persatuan Alumni Kolej New Era, Ahli Lembaga Pengelola Kolej New Era dan Gabungan Persatuan-Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor. Beliau kini merupakan Pengerusi DAP Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP.

Tiada ulasan: