HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mac 2008

Dr Shafie Diminta Letak Jawatan Ketua Pengakap Negara


Persekutuan Pengakap Malaysia hari ini mendesak bekas menteri pengajian tinggi Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh , meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengakap Negara berikutan satu resolusi undi tidak percaya yang diluluskan terhadap beliau.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Kolonel Profesor Datuk Dr Kamarudin Kachar berkata resolusi undi tidak percaya itu diluluskan pada 3 Feb lepas.

"Tindak tanduk beliau (Shafie) menyebabkan 90 peratus Pesuruhjaya Pengakap Negeri mengeluarkan satu resolusi undi tidak percaya terhadapnya. Saya rasa beliau tidak perlu jadi Ketua Pengakap Negara lagi dan elok kalau meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan sukarela," kata Dr Kamarudin kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya resolusi itu dibuat berikutan pelantikan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (TKPPN) pada 28 Jan lepas oleh Shafie dilakukan tanpa persetujuan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.

Dr Kamarudin berkata Ketua Pengakap Negara tidak mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan berkenaan dan ia melanggar peraturan Perlembagaan Persekutuan Pengakap Malaysia (POR), Akta Persekutuan Pengakap Malaysia yang digubal mengikut Akta Parlimen 409.

Katanya Yang di-Pertuan Agong secara tradisinya akan melantik Ketua Pengakap Negara yang terdiri daripada Menteri penuh pada setiap lima tahun sekali.

"Secara tradisinya Ketua Pengakap Negara adalah Menteri penuh dan Shafie yang dilantik pada Disember 2005 kini bukan lagi menteri mahupun anggota Parlimen," katanya.

Dr Kamarudin berkata Shafie turut mencampuri urusan latihan pengakap dengan membuat tawaran kepada Persatuan Pengakap Kemboja pada 2006 untuk melatih beberapa Pesuruhjaya Pengakap negara itu sedangkan Persatuan Pengakap negara itu belum lagi diterima menjadi anggota World Organisation of Scout Movement (WOSM).

Ekoran tindakan membuat resolusi undi tidak percaya itu, Dr Kamarudin berkata beliau bersama enam Ketua Pesuruhjaya Kanan Pengakap digantung perkhidmatan oleh Shafie menerusi surat bertarikh 17 Mac dan berkuasa serta merta yang secara tidak langsung melumpuhkan pergerakan pengakap seluruh negara.

"Tindakan penggantungan itu adalah tanpa sebab dan tanpa diberi peluang untuk menunjukkan sebab. Tindakan Shafie ini tidak pernah terjadi dalam 100 tahun sejarah penubuhan pengakap di Malaysia dan belum pernah Ketua Pengakap Negara di dunia ini menggantung Pesuruhjaya mereka," katanya.

Dr Kamarudin berkata beliau akan menghantar satu surat aduan mengenai perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada Isnin. BERNAMA

Tiada ulasan: