Perlembagaan negeri usang perlu dipinda: Zaid Ibrahim
Oleh SA'ODAH ELIAS
PUTRAJAYA: Beberapa undang-undang, termasuk perlembagaan negeri-negeri yang sudah terlalu usang mungkin dipinda bagi mengelakkan berlakunya konflik antara sistem demokrasi dan sistem raja berperlembagaan seperti yang berlaku dalam isu perlantikan menteri besar Terengganu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata, kajian terhadap perkara itu adalah antara usaha kerajaan untuk memperbaiki dan memperkukuhkan sistem perundangan dan kehakiman negara.
"Kadang-kadang komplikasi timbul kerana negara kita masih mempunyai undang-undang yang terlalu usang. Walaupun peruntukan undang-undang itu tidak lagi menepati kehendak masa, kita masih perlu mengikutnya kerana ia tetap undang-undang yang sah.
"Saya telah arahkan kakitangan saya agar mengkaji perkara ini, kerana ada antara perlembagaan negeri yang digubal seawal 1911. Kita perlu fokus pada isu ini dengan mendapatkan konsensus daripada semua pihak agar keharmonian antara sistem demokrasi dan institusi raja-raja dapat dikekalkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Rabu.
Selain perlembagaan negeri, Zaid berkata, beliau juga akan menumpukan fokusnya terhadap meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan konflik di masa hadapan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Katanya reformasi sistem kehakiman negara yang akan dilaksanakannya tidak hanya membabitkan beberapa perubahan kosmetik, tetapi sesuatu yang menyeluruh melibatkan fundamental sistem kehakiman negara.
"Saya belum boleh menyatakan secara terperinci apa yang akan saya lakukan, tetapi ia pastinya perubahan yang akan memulihkan kembali pemisahan kuasa (antara kehakiman dan eksekutif). Sistem Parlimen berperlembagaan di negara ini tidak memberi sebarang erti jika tidak ada perimbangan kuasa. Ia akan menjurus kepada penyelewengan seperti yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pendiriannya mengenai isu-isu reformasi kehakiman dan perundangan sebelum ini tidak popular dengan beberapa pihak.
"Saya tahu pandangan saya tidak popular dengan ramai pihak. Tetapi ia juga popular dengan banyak pihak lain. Apa pun saya yakin, jika dijelaskan dengan baik, cadangan-cadangan saya nanti akan dapat diterima umum," katanya sambil menambah beliau bukannya hendak mengubah dunia, tetapi hanya sistem kehakiman dan perundangan negara.
Mengenai cadangannya agar kerajaan meminta maaf terhadap pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas 20 tahun lalu, Zaid berkata, Kabinet belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya.
"Saya telah nyatakan pendirian saya. Cadangan itu masih dalam kajian. Kita tunggulah dahulu kerana ada ramai pihak lain yang lebih berpengalaman dan bijaksana daripada saya. Saya tidak mahu menambah lebih daripada itu," katanya.
Diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa bukan pentadbiran sekarang yang perlu meminta maaf berikutan krisis kehakiman pada 1988 itu, tetapi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab mengarahkan penubuhan dua tribunal yang terlibat, Zaid berkata:
"Kita tidak bolehlah suruh Dr Mahathir minta maaf kerana pentadbiran itu telah tiada lagi. Karpal cuma cuba bersikap nakal. Jika sesiapa perlu meminta maaf, ia adalah kerajaan hari ini. Seperti juga apabila Perdana Menteri Australia yang baru, Kevin Rudd menang dalam pilihan raya baru-baru ini, beliau telah meminta maaf kepada puak Orang Asli di negara itu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan