HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

Monsun melanda Terengganu
Raja Petra


Musim monsun (tengkujuh besar) dah mula melanda Terengganu. Ketibaan monsun kali ini jauh lebih hebat daripada apa yang pernah dilalui oleh rakyat Negeri Darul Iman, sama ada semasa di bawah pemerintahan PAS ataupun Barisan Nasional.

Monsun kali ini juga mengatasi 'populariti' Piala Monsun (Monsoon Cup) yang diilhamkan oleh Patrick Lim (Patrick Badawi kata Tun Mahathir).

Macam-macam 'bencana' dibawa oleh monsun kali ini. Bencana paling besar membabitkan 'perang yang tidak dingin' antara UMNO dan pihak Istana.

Ada pihak di Kuala Terengganu berkata ia adalah antara Idris Jusoh dengan pihak Istana.

Isu pokok ialah perlantikan Menteri Besar untuk mengetuai Kerajaan Negeri selepas kejayaan BN dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu. Kini dah masuk hari ke-15 negeri yang kaya dengan hasil minyak dan gas itu tanpa ketua kerajaan yang 'sah'.

Kuasa untuk melantik MB terletak pada Istana. Itu cukup jelas. Pihak Istana boleh memilih sesiapa sahaja yang terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti yang memenangi kerusi terbanyak. Itu kuasa Istana.

Dari segi politik, ketua parti yang menang boleh mengemukakan nama, tidak semestinya hanya satu nama, kepada pihak Istana untuk dilantik sebagai MB. Dalam hubungan ini, BN atau sebenarnya UMNO, hanya mengemukakan nama Idris Jusoh, seorang calon yang tidak diterima oleh Istana.

Oleh itu, keadaan menjadi buntu mengakibatkan Terengganu dilanda monsun, iaitu lebih awal daripada sepatutnya. Monsun ini bukan monsun biasa, ia adalah monsun luar biasa.

Adakah Idris dan penyokongnya yang diketuai oleh Rosol Wahid menderhaka kepada raja? Dari segi adat dan adab Melayu, mereka menderhaka kerana mengengkari titah perintah Istana.

Tiada ulasan: