HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mac 2008

PM bantah keputusan Istana, Umno pecat Ahmad
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Setelah Peguam Negara 'campur tangan' berhubung perlantikan Menteri Besar Terengganu yang tertangguh dua minggu, kini keadaan 'diburukkan' lagi dengan kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat membantah keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja Trengganu melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Dato' Ahmad Said ke jawatan tersebut.

Selain itu, Umno yang kini seolah-olah 'menunjukkan taringnya' kepada pihak Istana melakukan tindakan yang mengejutkan banyak pihak apabila melucutkan keahlian Ahmad dalam Umno kerana mengingkari arahan Umno Malaysia supaya tidak menerima watikah pelantikannya itu.

Dilaporkan Ahmad, menerima watikah pengisytiharan pelantikannya daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang juga adinda Sultan Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Abdullah dipetik sebagai berkata bahawa pelantikan Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut perlembagaan.
"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Dato' Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan dari segi sokongan.

"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan 22 Adun BN negeri yang membantah pelantikan Ahmad hari ini.

Sementera itu menurut Malaysiakini, Setiausaha Agung Umno yang baru Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata Ahmad tidak berhak menerima watikah itu kerana Abdullah yang juga Presiden Umno, telah mengeluarkan surat cara pelantikan kepada Idris Jusoh untuk jawatan tersebut.

Manakala Setiausaha Umno Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata perlucutan keahlian Ahmad dalam Umno kerana menerima watikah pelantikan tersebut pagi semalam dan surat rasmi pemecatan Ahmad akan dikeluarkan oleh pihak Umno Malaysia katanya kepada Malaysiakini.

Terengganu mengalami krisis pelantikan menteri besar sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac walaupun BN menguasai 24 daripada 32 kerusi DUN.

Idris, yang 'merampas' negeri itu daripada pentadbiran PAS pada 2004, tidak mendapat 'restu' istana apabila majlis angkat sumpah pada 10 Mac lalu dibatalkan tanpa sebab malah situasi tersebut telah menyebabkan hubungan antara BN dengan istana menjadi tegang.

Tiada ulasan: