HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Mac 2008

PKPIM mahu kursus seimbang, kaji semula AUKU
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mahu memastikan semua kursus yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menepati pasaran kerja.

Namun demikian, PKPIM berpandangan, dengan menukar semua kursus supaya menepati pasaran kerja bukan suatu keputusan yang tepat.

Menurut Presiden PKPIM Mohd Hilmi Ramli situasi hari ini bukanlah disebabkan masalah kursus yang tidak relevan dengan pasaran semasa, akan tetapi program pembangunan sahsiah dan ketrampilan mahasiswa yang memerlukan suntikan segera.

"Program membangunkan sahsiah dan ketrampilan, yang melibatkan mahasiswa dalam aspek kepimpinan, 'decison making', bersosial, berpolitik dan berpersatuan harus digandakan," katanya dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Seiring dengan itu katanya, Kementerian harus melihat kembali Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) secara kritis.

"AUKU telah memainkan peranan mewujudkan 'culture of fear' di kalangan mahasiswa.
Lalu menjadikan mereka pasif dan takut," katanya kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Dato' Seri Khalid Nordin yang mahu memastikan semua kursus yang ditawarkan di IPTA menepati pasaran kerja.

Kata Hilmi displin kemanusiaan adalah faktor penyeimbang kepada mahasiswa supaya mereka menjadi manusia yang bukan sekadar 'agen industri', tetapi agen sosial dalam masyarakat.

"PKPIM akan terus menyokong usaha mengangkat martabat generasi muda dengan cara pengupayaan kaedah yang tepat," katanya.

Tiada ulasan: