HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Mac 2008

Selangor terus menjadi tumpuan
Roslan SMS


Sejak terbentuknya kerajaan campuran baru di negeri Selangor, dengan Tan Sri Khalid sebagai MB baru dan barisan EXCO dari PKR, PAS dan DAP Selangor terus menerus menjadi perhatian umum. Bukan hanya orang-ramai menaruh minat terhadap Selangor, malah akhbar-akhbar media perdana pun kelihatan memberi lebih ruang kepada bumi Darul Ehsan ini, sehingga menggerhanai kerajaan Perdana Menteri Dollah Badawi, yang nampak seakan belum mula bekerja lagi, kerana terlalu banyak masalah rumah tangga yang belum selesai.

Saya percaya Selangor menjadi perhatian umum kerana di negeri inilah gabungan sebenar ketiga-tiga parti politik PKR, PAS dan DAP dapat disaksikan. Ketiga-tiga parti di Selangor perlu bermuafakat dan sentiasa bekerjasam dan bertolak-ansur kerana masing-masing merupakan komponan penting sehingga memungkinkah kerajaan ini terbentuk. Politik baru Malaysia sedang lahir dan bernyawa di Selangor maka sudah pastilah seluruh rakyat dalam negeri termasuklah mungkin masyarakat antarabangsa menyaksikan Selangor dengan penuh minat.

Satu perkembangan menarik yang dicetuskan oleh MB nya baru-baru ini adalah cadangan untuk mengenakan levi keatas majikan yang menggajikan pekerja asing. Melalui cadangan itu kerajaan negeri berhasrat mengenakan levi RM9 sebulan ke atas setiap pekerja asing yang diambil bekerja di Selangor. Menurut Tan Sri Khalid terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja asing di negeri Selangor sahaja, oleh itu jika levi ini dikenakan, kerajaan negeri bakal mengumpul RM150 juta sebulan!

Untuk apa wang itu nanti?

Menurut Tan Sri wang itu nanti akan digunakan untuk melatih anak-anak tempatan di Selangor yang menganggur dengan harapan mereka nanti akan memiliki ilmu dan kemahiran sehingga akhirnya nanti pergantungan kepada pekerja asing ini nanti dapat dikurang dan mungkin juga dihapuskan

Tidakkah ini nanti baik untuk negeri dan rakyat Selangor?

Ada yang berpandangan langkah itu nanti bakal membebankan para pekerja asing, kerana mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai levi yang dikenakan oleh kerajaan pusat. Adalah difahamkan seorang pekerja asing yang masuk ke Malaysia dikenakan antara RM3,500 ke RM4,000 seorang, sedangkan kemana perginya dana yang terkumpul itu tidak diketahui.Secara peribadi saya merasakan pekerja asing ini datang ke Malaysia bukan semata-mata kerana di negara asal mereka susah dan tiada pekerjaan.

Tetapi faktor utama mereka berduyun-duyun datang ke sini adalah kerana upah dan gaji yang lumayan yang dibayar di sini. Pasti siapa juga pernah mendengar atau terbaca betapa pekerja asing samada dari Indonesia, Bangladesh atau India, apabila pulang ke negeri asal masing-masing seolah menjadi jutawan kampung! Mereka mampu membina banglo dan rumah mewah kerana hal yang demikian, oleh itu saya merasakan levi yang munasabah ini tidaklah akan banyak menjejaskan mereka, sebaliknya ia bakal mencurahkan manfaat pula kepada anak-anak tempatan.

Cadangan MB ini bagi saya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya. Malah beliau menambah kiranya kerajaan negeri dibenarkan mengutipnya kerajaan negeri nanti dapat membina satu sistem maklumat pekerja asing bagi menyimpan rekod, di samping memantau pergerakan mereka di negeri ini. Sudah pastilah pengurusan pekerja asing nanti akan menjadi lebih sistematik dan kehadiran pekerja asing yang haram dapat dikenal-pasti.

Izinkanlah kerajaan negeri baru ini mentadbir dan mengurus negeri yang mereka kuasai menurut gaya dan kebijaksanaan mereka. Tak perlulah dihalang atau dikongkong malah kerajaan pusat seharusnya lebih proaktif dan terbuka membantu demi kebaikan bersama. Berjaya Selangor maka berjayalah juga Malaysia, demikianlah juga Perak, Pulau Pinang, Kedah dan kelantan termasuklah negeri-negeri lain yang dikuasai BN.

Kepada kerajaan baru ini, buatlah yang baik demi negeri bertuah ini, insyallah rakyat akan terus bersama anda.

Tiada ulasan: