Kerajaan Selangor akan tingkatkan pembangunan belia
Roy Rasul & Anis Nazri
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Cadangan kerajaan Selangor mengenakan syarat bayaran RM9 ke atas majikan bagi setiap pekerja asing adalah bertujuan meningkatkan pembangunan kerjaya bagi para belia tempatan yang menganggur di negeri itu.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembangunan kerjaya belia di Selangor ialah satu usaha terpenting dalam menentukan kejayaan masa depan Selangor.
"Kita ingin mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya memberi kuasa kepada kerajaan Selangor untuk mengetahui perkembangan-perkembangan buruh asing di Selangor, di mana kita dapat melaksanakana satu peraturan untuk mengenakan RM9 setiap bulan ke atas majikan sebagai dana untuk pembangunan golongan belia di Selangor," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri kali pertama, dalam pentadbiran barunya di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata belia di Selangor wajar diberi kemahiran dan keupayaan supaya mereka dapat memberi sumbangan yang positif dalam ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat bersetuju untuk menjalankan beberapa usaha bagi mengemaskini pentadbiran negeri, di samping menyelesaikan kelemahan dan kesukaran yang dihadapi rakyat Selangor.
"Salah satu dari tugas yang kita usahakan ialah meminta Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew, menyelesaikan masalah pembangunan di lereng bukit.
"Saya minta beliau berjumpa dengan Yang DiPertua Perbandaran Tempatan di Ampang dan juga di tempat-tempat yang mempunyai pembangunan sedemikian," katanya.
Turut dimaklumkan kepada media berhubung pemberian tanah untuk individu dan sewa tanah ke atas sekolah dan rumah ibadat dengan kadar sewa RM1 setahun.
Beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha untuk mendapat ruang di Radio Selangor FM supaya ahli exco dapat ditemubual setiap minggu agar mereka dapat berinteraksi dengan pendengar. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan