2 terbunuh, 17 cedera bas jatuh gaung
GENTING HIGHLANDS - Dua penumpang terbunuh manakala 17 lagi cedera parah apabila bas Ekspres Genting yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung sedalam 20 meter di Kilometer 25.5 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, kira- kira 5.4 kilometer dari tol Gombak, dekat sini hari ini.
Seorang daripada penumpang yang maut adalah wanita yang dipercayai berasal dari Seremban manakala seorang lagi mangsa merupakan lelaki tempatan, namun identiti kedua-dua mangsa belum diketahui.
Sebahagian besar daripada penumpang bas berkenaan adalah pelancong asing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, bas tersebut yang membawa 40 orang penumpang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke terminal bas Pasar Rakyat di ibu kota.
Menurut Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Deputi Supritendan Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa, siasatan awal mendapati bas itu dipercayai hilang kawalan disebabkan jalan licin lalu terbabas di sebelah kiri lebuh raya tersebut dan melanggar penghadang jalan sehingga terjunam ke dalam gaung.
Menurutnya, kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang masing-masing berusia 40-an mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala setelah tersepit dalam bas tersebut.
Dikeluarkan"Mayat pertama seorang lelaki berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 6.43 petang manakala mayat kedua dikeluarkan setengah jam kemudian,'' katanya.
Menurutnya, kedua-dua mayat itu dihantar ke HKL untuk bedah siasat.
"Sebanyak 17 penumpang yang cedera parah termasuk pemandu bas dikejarkan ke Hospital Selayang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Sementara 20 lagi katanya, cedera ringan dengan 17 dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tiga lagi ditempatkan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Beliau berkata, kesemua penumpang dipercayai berusia antara 20 dan 40 tahun.
Mohamed Rafiq memberitahu, sehingga pukul 10 malam ini operasi mencari mangsa masih diteruskan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam kenderaan terbabit.
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Bomba dan Penyelamat Selayang, Abd. Wahab Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 6.34 petang
Beliau berkata, seramai 44 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Hang Tuah, Ampang Jaya, Wangsa Maju dan Selayang bergegas ke tempat kejadian. Jentera bomba tiba 13 minit kemudian.
Jelasnya, operasi menyelamat mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan kedua-dua mayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan