Bajet 2009 umum kadar baru cukai jalan?
SEPANG: Kerajaan kemungkinan mengumumkan kadar baru cukai jalan pada Bajet 2009 yang akan dibentangkan pada Ogos ini.
Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan kewangan fiskal secara menyeluruh dan bukan hanya kemahuan kementerian sahaja.
Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyediakan input atau butiran yang lebih lengkap dan menyeluruh berkenaan hasil kutipan cukai jalan kategori-kategori kenderaan bagi setahun.
"Saya akan berikhtiar untuk memberi input yang lengkap tersebut kepada Kementerian Kewangan supaya dapat mempertimbangkan pengurangan cukai jalan itu sekiranya dapat dikurangkan," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Malaysia Airlines Cargo Sdn Bhd (MASKargo) di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen menjadikannya RM2.70 seliter dan kenaikan RM1 bagi diesel menjadi RM2.58 seliter berkuatkuasa hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan, bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana berikutan kenaikan harga bahan api itu, kerajaan bersetuju memberi bayaran tunai RM625 setahun bagi kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip sehingga 2,500cc manakala motosikal persendirian sehingga 250cc akan dibayar RM150 setahun.
Bagi kenderaan persendirian lebih 2,000cc, cukai jalan dikurangkan RM200 manakala pemilik motosikal persendirian kapasiti lebih 250cc, cukai jalan dikurangkan RM50, tertakluk kepada cukai jalan minimum RM2.
Kata beliau, pengurangan cukai jalan itu merupakan salah satu usaha untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi rakyat.
"Sekurang-kurangnya, saya memainkan peranan saya. Kami belum lagi mengkaji perkara-perkara tertentu. Sudah tentu kami akan melakukannya secara bersepadu.
"Beberapa input dan inisiatif atau beberapa cadangan inisiatif akan dibincangkan dengan lanjut pada Jawatankuasa Kabinet mengenai Pengangkutan Awam," katanya.
Menteri berkenaan juga meminta pengusaha pengangkutan awam di negara ini khasnya kereta api dan komuter supaya meningkatkan tahap perkhidmatan mereka menjelang 2009 supaya dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.
Tegas beliau, mereka harus menunjukkan kemajuan dan penambahbaikan dari pelbagai segi termasuk dalam perkhidmatan pelanggan, ketepatan masa dan kapasiti penumpang.
Beliau berkata pengangkutan awam ini perlu mesra pelanggan dan mewujudkan jaringan antara pelbagai jenis pengangkutan awam yang terdapat di negara ini.
Katanya beliau juga telah mengeluarkan arahan supaya satu audit menyeluruh dijalankan ke atas landasan-landasan keretapi yang terdapat di negara ini.
Dalam pada itu, Bank Negara meramalkan inflasi dijangka melepasi 5.0 peratus bulan ini berikutan kenaikan harga bahan api yang diumumkan semalam, meningkat 4.2 peratus daripada anggaran awal pada 2.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini berkata, inflasi juga dijangkakan memuncak pada suku pertama 2009 sebelum menyederhana pada suku kedua tahun depan kepada kurang daripada 3.0 peratus.
"Bagi separuh pertama 2009, inflasi akan mencecah pada paras 5.3 peratus, dan selepas itu menurun kepada 3.0 peratus.
Inilah simulasi awal kami terhadap penyelarasan harga seperti yang ditunjukkan pada asas bulankebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia Ke-12 di sini.
Beliau berkata kadar inflasi negara secara relatifnya masih rendah berbanding negara lain, dan beliau menggesa Malaysia mengambil kesempatan terhadap situasi semasa dan menyesuaikan dengan keadaan itu.
Zeti juga menolak cadangan kemungkinan kadar faedah meningkat, dengan berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa dasar monetari di luar daripada jadual biasanya.
"Pada masa ini kami akan memantau masalah inflasi dan melihat sama ada terdapat petunjuk kesan pusingan kedua (kenaikan harga bahan api) dan permintaanya, kerana pada masa ini ia akan memberi impak terhadap pertumbuhan, dengan pertumbuhan global kini menyederhana," katanya.
"Oleh itu risiko perkembangan OPR (kadar dasar semalaman) sedang diperhalusi dan dinilai dan pada masa ini kami tidak menganggap perlunya memanggil mesyuarat khas jawatankuasa dasar monetari dan kami akan meneruskan penilaian itu ke masa hadapan," katanya.
Mengenai pertumbuhan negara, Zeti berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal antara 5.0 dan 6.0 peratus.
"Pertumbuhan akan bergantung terhadap apa yang kerajaan lakukan dengan bayaran dan manfaat tunai hasil daripada subsidi yang lebih rendah, serta projek pembangunan.
"Semua ini akan memastikan paras 5.0 peratus akan dicapai," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata beberapa kesan akan wujud ke atas aktiviti penggunaan walaupun unjuran yang lebih rendah itu masih tinggi daripada pertumbuhan penggunaan purata negara.
"Anggaran unjuran awal kami bahawa penggunaan sebenarnya akan berkembang lebih daripada 10 peratus, namun ia mungkin susut 1.0 peratus tahun ini," katanya.
"Oleh itu, tidak banyak penyelarasan ketara dalam penggunaan dan jika ia susut kepada 9.0 peratus, angka itu masih melepasi purata pertumbuhan penggunaan yang kita ada," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan