HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Jun 2008

Demi Setia Najib Tidak Cabar Abdullah?
A Kadir Jasin


DI KUALA LUMPUR, bosnya mengajak Ahli Parlimen Barisan Nasional memikirkan cara berinovasi menangani kos sara hidup bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Di London, Mohd Najib Abdul Razak berikrar “tidak akan cabar” bosnya kerana dia “ahli parti sejati.”

Kos sara hidup melambung kerana Pentadbiran “Selamat, Aman dan Makmur” Abdullah Ahmad Badawi menarik baik sebahagian besar subsidi minyak dan menaikkan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel RM2.58 seliter.

Daripada kehuru-haraan pengumuman itu – sebentar Ogos tetapi tiba-tiba serta merta – saya rasa Ahli Parlimen BN tidak pun tahu yang Abdullah akan memindahkan beban kenaikan harga minyak dunia daripada Perbendaharaan kepada rakyat jelata.

Kalau mereka tahu atau mereka dibawa berunding, saya sangat-sangat yakin majoriti daripada mereka tidak akan bersetuju dengan kenaikan yang begitu membebankan rakyat jelata dan mengancam ekonomi negara.

Tetapi kalau ahli kabinet macam Shahrir Abdul Samad boleh tertipu dan menjadi keliru, saya cenderung memikirkan bahawa Ahli Parlimen BN tidak tahu dan tidak dibawa berunding.

Hakikatnya, Ahli Parlimen kini menjadi tempat rakyat jelata meluahkan rasa dan melepas geram. Khabarnya Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna tak senang minum teh tarik di Bangsar kerana diejek orang ramai.

Kalaulah dengan takdir pilihan raya terpaksa diadakan sekarang, banyak daripada Ahli Parlimen BN akan kalah. Apa tidaknya. Dalam suasana sekarang bolehkah mereka mempertahankan ikrar “Selamat, Aman dan Makmur”?

Atau apakah janji itu sekadar cogan kata kosong pilihan raya sahaja?

Mohd Najib dipetik di London sebagai berkata beliau tidak akan mencabar Perdana Menteri untuk jawatan Presiden Umno kerana dia seorang ahli parti yang setia.

Jadi, apakah Tun Abdul Razak Hussin bukan ahli parti yang setia kerana bersekongkol dengan pihak-pihak yang mendesak Tunku Abdul Rahman Putera agar bersara pada tahun 1969?

Apakah Tengku Razaleigh Hamzah bukan ahli parti yang setia kerana pada tahun 1987 dia mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad?

Apakah Abdullah Ahmad Badawi bukan ahli parti yang setia kerana bersekongkol dengan Tengku Razaleigh dan Musa Hitam cuba menjatuhkan Dr Mahathir?

Apakah tertulis, terukir dan terpahat dalam Perlembagaan Umno suatu fasal mengenai ahli parti yang setia?

Kalau wujud suatu makhluk (creature) yang digelar “ahli parti yang setia” dalam Umno, apakah ini bermakna Umno boleh dibiarkan hancur kerana ahli tidak boleh mencabar kepemimpinan yang hambar?

Soalan-soalan itu perlu diselidik dan dijawab oleh Mohd Najib dan para penasihat dan penyokong akrabnya jika Umno mahu diselamatkan.

Mungkin bagi mereka, mengekalkan rekod Mohd Najib sebagai pemimpin yang naik tanpa mencabar sesiapa lebih penting daripada segala-galanya.

Kita, sebagai orang luar, hanya mampu membuat andaian. Buat sementara waktu ini, berikut adalah kemungkinan dan andaian yang terlintas di fikiran saya:-

1. Naib Presiden kanan, Muhyiddin Yassin, meneruskan cadangannya menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden;

2. Tengku Razaleigh Hamzah terus berazam bertanding jawatan Presiden dan berjaya mendapat pencalonan yang mencukupi;

3. Dengan sentimen yang wujud sekarang, Muhyiddin akan memberi tentangan hebat kepada Mohd Najib jika Mohd Najib tidak berganjak daripada jawatan Timbalan Presiden;

4. Elemen dalam Umno yang tidak puas hati dengan kepemimpinan sekarang dan hampa dengan ketidakberanian dan kesetiaan fanatik Mohd Najib akan menyokong beliau;

5. Sekalipun Tengku Razaleigh dan Muhyiddin tidak berganding secara rasmi, ahli dan perwakilan Umno tetap melihat mereka sebagai alternatif terbaik kepada gandingan mesra Abdullah-Mohd Najib;

6. Tetapi sekiranya Mohd Najib “memperoleh” ilham dan keberanian serta tidak menderita serangan “koro” lantas menawarkan diri sebagai calon Presiden, satu anjakan pemikiran akan berlaku;

7. Kepada banyak orang, gabungan Mohd Najib-Muhyiddin adalah yang terbaik;

8. Semestinyalah elemen di sekeliling Abdullah akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Mohd Najib berada dalam lingkungan dan kurungan mereka;

9. Kalau ditakdirkan Mohd Najib berubah fikiran dan menawarkan diri bertanding jawatan Presiden, Abdullah mungkin tidak akan menerima Muhyiddin sebagai “running mate”; dan

10. Besar kemungkinan beliau akan memilih seorang lagi anak Johor iaitu Syed Hamid Jaafar Albar sebagai rakan seperjuangan.

Kesimpulannya, sama ada Mohd Najib dan Muhyiddin suka atau tidak, mereka sebenarnya sudah menyeberangi sempadan seperti Julius Caesar menyeberangi Sungai Rubicon sebagai simbol pengisytiharan perang.

Soalnya bukan mereka mahu menongkah arus apatah lagi menderhaka tetapi pada hemat saya ini adalah kehendak ahli akar umbi Umno demi menyelamatkan parti, perjuangan orang Melayu dan masa depan negara.

Orang yang melihat gerakan dan kebangkitan ini sebagai isu peribadi sebenarnya menolak realiti dan mahu mengekalkan status quo yang goyah demi kepentingan peribadi dan kelompok mereka sahaja.

1 ulasan:

Unknown berkata...

jangan harapkanlah kepada lelaki yang bertelur kecut!