HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Jun 2008

MB Selangor sedia lantik ketua kampung, JKKK kalangan Umno


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk melantik Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kalangan anggota Umno, asalkan mereka sanggup berbakti kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata, kriteria itu akan dijadikan kayu ukur oleh Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah yang dipertanggungjawabkan untuk mencadangkan nama calon yang benarbenar layak mengisi jawatan itu kepada kerajaan negeri.

"Mereka kenal Ketua Kampung dan JKKK ini dan adakalanya dalam cadangan tersebut mereka juga akan tentukan yang Ketua Kampung ini masih lagi boleh berkhidmat.

"Pada pandangan kerajaan negeri, Ketua Kampung sepatutnya mesti menjadi Ketua Kampung untuk semua masyarakat di kampung tanpa kira fahaman politik.

"Kita akan tanyakan, kalau pun mereka dipilih adakah mereka sanggup berkhidmat untuk semua masyarakat di kampung dan kalau mereka tidak sanggup berkhidmat maknanya kita tidak akan memilih mereka.

"Pada saya kalau orang itu sanggup kerja untuk semua masyarakat, ia memenuhi kriteria yang kita perlukan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan mengekalkan Ketua Kampung dan anggota JKKK di kalangan anggota Umno yang dilantik semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang menjalankan khidmat dengan cemerlang di kawasan masingmasing.

Akhbar sebelum ini melaporkan sebahagian Ketua Kampung di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak meletak jawatan setelah mendengar ura-ura mereka mahu diberhentikan apabila pentadbiran keempat-empat negeri itu bertukar tangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Khalid turut menafikan dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib di Dewan Negara semalam bahawa kerajaan Selangor menunjukkan sikap agresif apabila menghalau keluar operasi Radio Selangor FM dari bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Kami tidak halau tetapi mereka yang merajuk. Saya cakap kalau kita tak boleh guna Radio Selangor untuk beri penerangan tentang pembangunan di negeri ini, jadi buat apalah mereka dipanggil FM Selangor.

"Kemudian dia merajuk lalu keluar dari bangunan ini," katanya.

Mengenai pelantikan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri tidak akan melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mengisi jawatan itu tetapi hanya memilih calon dari pertubuhan bukan kerajaan dan golongan profesional.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah memutuskan bahawa anggota Umno dan MIC yang menjadi ahli majlis PBT semasa pentadbiran kerajaan BN sebelum ini perlu mengosongkan jawatan itu bagi memberi laluan kepada muka baru.

"Saya difahamkan sebelum ini ahli majlis di kalangan anggota MCA telah pun meletak jawatan sejurus selepas pilihan raya umum lepas dan saya terima peletakan jawatan mereka.
"Jadi mereka tidak akan dilantik semula dan sekarang kita terjemahkan keputusan untuk pembangunan di PBT akan dilakukan oleh mereka yang ada hubungan dengan masyarakat di sana, itu kita beri keutamaan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: