Orang Melayu Hari ini dan Hari muka
Oleh Rahim Zzain
Mungkin orang UMNO tidak merasainya dan mungkin pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak merasainya; tetapi rakyat Melayu termasuk yang selesa dengan PAS dan PKR yang sentiasa mengharap kepada UMNO untuk membawa orang Melayu ke pantai idaman sekarang merasai kepahitan politik. Kebelakangan ini semenjak pengunduran Tun Dr Mahathir dari kepimpinan UMNO orang Melayu sangat merasai bahawa rakyat bukan-Melayu sudah tidak lagi menghormati Bangsa Melayu; apa lagi setelah PRU 12. Orang Melayu yang selama ini cinta damai dan telah memberi laluan kepada perubahan-perubahan yang dibuat di atas prinsip membina negara walaupun menjejas idaman mereka tiba-tiba berdepan dengan kesedaran bahawa mereka tidak boleh lagi mengharap kepada kebijaksanaan pemimpin UMNO untuk mengisi janji kemerdekaan kepada orang Melayu. UMNO mahu orang Melayu menerima bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO; dan ramai orang Melayu walaupun tidak menjadi ahli berpegang kepada harapan dari kepimpinan UMNO kerana UMNO menjadi tulang belakang pentadbiran Negara, dan semenjak dulu UMNO berjanji kepada orang Melayu untuk mengisi atau memberi erti kepada kemerdekaan; apalagi dalam menghidupkan hak-hak istimewa orang Melayu sebagai tenaga bagi menolong orang Melayu maju. Bahkan orang Melayu yang tidak menyokong UMNO pun mengharap kepada UMNO menjaga kepentingan Melayu kerana UMNO menerajui pemerintahan negara.
Malangnya pemimpin-pemimpin UMNO menganggapkan hak-hak istimewa itu untuk disimpan dalam Perlembagaan sebagai warisan; maka kekal lah keistimewaan itu kaku dalam Perlembagaan untuk disebut-sebut sebagai penyedap rasa sedangkan hak-hak itu perlu dihidupkan supaya berdaya membantu. UMNO yang selama ini mengaku sebagai mewakili suara orang Melayu seluruhnya tidak pernah mahu tahu diluar dari apa yang didengar dalam Perhimpunan Agung sama ada orang Melayu bersetuju dengan andaian-andaian yang dibuat bagi pihak orang Melayu.
Hari ini orang Melayu yang mengambil tahu tentang kedudukan Bangsa Melayu berada dalam keadaan menggelabah, dan ada yang seperti cacing kepanasan; manakala yang lain pula hidup seperti biasa tanpa mahu tahu dan terus meletak harapan kepada pemimpin Melayu yang menerajui pentadbiran negara untuk membereskan semua janji. Itulah harapan yang mereka pegang tahun demi tahun. Keputusan PRU tidak menggelabah mereka. Begitu juga dengan orang Melayu yang sudah berhijrah kepada kepimpinan yang lain dari UMNO. Mereka tidak menggelabah walaupun mereka selama ini seperti seluruh orang Melayu meletakkan harapan besar kepada kepimpinan kerajaan untuk menjaga dan mengisikan janji kemerdekaan bagi orang Melayu kerana Kerajaanlah yang berkuasa untuk menjadikan semua itu satu realiti. Baik yang kepanasan atau yang tidak, atau yang menggelabah atau yang tidak, atau yang celik atau yang tidak, atau yang mengharap atau yang tidak, atau yang berjaya atau yang tidak seluruh orang Melayu sebenarnya menghadapi realiti yang pahit. Warisan dan dunia yang idamkan sebagai hasil dar kemerdekaan mungkin muncul dan mungkin tidak akan muncul kerana kuasa dan pengaruh pemimpin Melayu tidak dapat dikembalikan kepada status sebelum ini. .
Realiti yang menanti orang Melayu di masa terdekat adalah kesan daripada apa yang dibuat dan yang tidak dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO selama ini dan kebelakangan ini semasa mereka memegang teraju pemerintahan negara. Kepintaran berpolitik dan kepintaran memimpin BN tidak ditunjuk atau diamalkan. Pemimpin Melayu tidak meresap berkongsi visi dengan rakyat jelata berbilang kaum sebagai pembawa kebaikan dan kemakmuran bersama. Pemimpin-pemimpin Melayu UMNO dilihat sebagai korup, tidak berintegriti dan tidak mesra rakyat serta angkoh. Bagaimanakah semua itu dapat dibersihkan dari tanggapan rakyat jika tidak dengan satu langkah pembersihan yang hebat. Masalah sudah melampaui politik undi semata-mata. Masalah sudah masuk ke alam hilang kepercayaan. Bahkan pahit maung yang sedang dirasai oleh mereka yang menggelabah dan yang seperti cacing kepanasan serta seluruh orang Melayu yang ada maruah yang hendak dijaga adalah akibat secara langsung dari kelemahan pemimpin-pemimpin UMNO dahulu dan sekarang yang mengabaikan kepentingan Melayu; iaitu perkara-perkara yang orang Melayu mahu dikekalkan sebagai warisan yang sah dan yang ada asas sebagai hak Melayu.
Wakil-wakil rakyat UMNO jarang berhujah mati-matian di Parlimen bagi menegak apa yang pemimpin-pemimpin mereka mahu hakis. Mereka takut dan rasa terhutang budi kepada pemimpin yang memberi kesempatan dan kedudukan kepada mereka. Mereka tidak bersuara apabila ketua mereka meminda Perlembagaan, mengubah dasar bahasa, pendidikan, budaya, huruf jawi, pelajaran ugama Islam, kedudukan Raja dan lain-lain perkara yang orang Melayu mahu dikekalkan. Mereka berdiam diri di Parlimen dan di luar Parlimen apabila kepentingan Melayu dihanyutkan oleh pemimpin mereka. Mereka bisu. Wakil rakyat UMNO selama ini tidak bersemangat dalam tuntutan perkara fundamental dalam politik Melayu. Mereka tidak menuntut atau mendesak atau menghujah dengan baik supaya apa yang orang Melayu mahu dilaksanakan. Mereka hanya bercakap tentang projek atau mereka berbalah dalam Palimen dan DUN. Dan jika hari ini ada terdapat kesan baik dari pengurusan negara yang sekarang orang Melayu nikmati sebagai yang manis kemungkinannya sebahagian besar darinya adalah hasil dari tuntutan dan desakan perjuangan Melayu PAS dan suara bebas yang tidak henti-henti diutarakan secara konsisten di Parlimen, DUN dan di tepi-tepi jalan.
Hari ini masih ada dalam Parlimen wakil-wakil rakyat yang sekian lama memalukan Bangsa Melayu dengan sikap kasar dan cepat menggunakan perkataan kesat dalam Parlimen. Pemikiran dan kepintaran berhujah dengan baik tidak ada pada mereka tetapi mereka dicalun untuk ke Parlimen. Kenapa? Tidak adakah Melayu lain? Tidakkah ini mencerminkan mutu kepimpinan dalam pemilihan calun?. Hari ini veteran yang bisu dulu menggelabah. Semasa mereka bisu di Parlimen orang Melayu di luarlah yang berseminar dan berkongres di sana sini untuk menarik perhatian kepada perkara-perkara penting yang orang Melayu sepatutnya peroleh.
Bacalah hansard untuk mengetahui dengan sebenar siapa yang berhujah dengan bernas berjam-jam mengenai keselamatan negara, persenjataan negara, bekalan makanan negara, kemiskinan rakyat jelata, pengagihan kekayaan negara dan pembangunan yang berimbang, dan perkara halal haram dalam urusan ekonomi dan kehidupan rakyat Melayu Islam. Lihatlah hari ini bagaimana negeri-negeri Malay heartland dibiarkan tanpa tapak pembangunan yang kukuh. Itulah contoh yang baik bagi menunjukkan kecuaian dan ketiadaan politik cerdik Melayu dalam jiwa pemimpin Melayu. Kalaulah mereka yang ramai hari ini menggelabah seperti yang dalam Kelab veteran UMNO atau yang dalam persatuan bekas wakil rakyat UMNO tidak membisu pada masa dan ketika mereka menjadi wakil rakyat orang Melayu tidaklah berada dalam keadaan seperti anak ayam kehilangan ibu hari ini.
Realiti baru bagi orang Melayu ialah mereka tidak lagi boleh hidup dalam mimpi yang dijanji oleh orang-orang politik kampungan apabila janji-janji itu adalah mengenai perkara yang di luar dari apa yang menjadi hak Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Dan Perlembagaan yang perlu dipegang ialah Perlembagaan yang sudah dipinda-pinda, yang robek. Perkara meminda Perlembagaan balik kepada yang asal adalah realiti baru yang bergantung kepada kuasa, suara, dan pengaruh. Jika kuasa lemah, bilangan suara tidak ramai dan daya mempengaruhi minda kawan-kawan untuk menyokong tidak ada pindaan tidak akan dapat dibuat. Orang Melayu yang berpolitik di kampung perlu faham perkara ini jika tidak mahu kecewa besar. Juga yang menjadi penentu dalam perkara hubungan kaum tidak lagi banyak bergantung kepada rundingan ketua-ketua kaum kerana ketua-ketua kaum sudah hilang kedudukan dan kewibawaan di mata anak kaum masing-masing. Dulu Tun Razak, Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan boleh duduk berbincang dan apa yang baik disisi mereka diterima dengan senang hati oleh rakyat tanpa bersuara.
Hari ini kondisi dan situasi sudah jauh berbeza. Pemimpin-pemimpin Melayu sendiri sudah melepas tangan dan rela membiarkan supaya perkara-perkara yang berkaitan dengan pentafsiran satu-satu isu diserahkan kepada mahkamah. Sudah tidak ada ruang atau kesediaan atau keberanian atau usaha untuk melindungi dan menangani isu Melayu dalam masyarakat walaupun isu berkenaan melibat maruah kaum Melayu yang boleh mendedahkan bangsa Melayu kepada risiko hilang maruah jika keputusan tidak memihak kepada Melayu undang-undang akan menjadi penentu. Dalam realiti baru undi akan menjadi penentu. Dalam realiti baru suara ramai akan nmenjadi penentu. Dalam realiti baru logik akan menjadi penentu. Dalam realiti baru siapa cepat dia dapat akan menjadi penentu. Dalam realiti baru kebijaksanaan akan menjadi penentu. Dalam realiti baru kesihatan tubuh badan akan menjadi penentu. Dalam realiti baru kekayaan akan menjadi penentu. Dalam realiti baru kekuatan dalam serba erti kekuatan akan menjadi penentu. Allah akan menjadi penentu. Allahuakbar.
Dari sini orang Melayu yang menggelabah dan kepanasan seperti cacing panas serta sasterawan, budayawan, dan cendikiawan yang memilih jalan bertindak seperti yang telah ditunjukkan secara berkongres dan berseminar dan segala NGO termasuk GPMS yang tidak pernah bertindak positif mengenai hal orang Melayu perlu melihat kepada realiti baru yang menunggu orang Melayu just around the corner. Jika prospek itu dilihat secara positif tidak lagi harus ada orang Melayu yang menggelabah. Negara kita yang selama ini kita bina bersama dengan kaum-kaum lain menjanji harapan yang cerah jika kita hadapi reality baru yang ditunjuk di atas secara tidak menipu diri dan menipu anak buah di kampong. Jika selama ini UMNO mengharap kepada wanita untuk memperoleh undi dan urusan politik diserah kepada ketua-ketua yang tidak cerdik politik Melayu masanya sudah tiba untuk membuat anjakan.
Tetapi jika orang Melayu pilih untuk terus mengharap kepada apa yang tidak boleh diharap dan mahu berpegang kepada seruan yang lapuk dan tidak ada asas yang kuat untuk dipertahankan dan yang selama ini tidak terdaya di hurai secara jelas dan logik maka Melayu sedemikian akan kecewa besar. Melayu bersongkok akan kecewa lebih besar. Dari apa yang digambarkan di atas jalan bagi orang Melayu keluar dari kebuntuan yang dibuat sendiri adalah terbentang luas. Persediaan bagi menghadapi realiti sedemikian boleh dan perlu dibuat segera dengan pintar di bawah pimpinan yang pintar dan disertai oleh orang Melayu yang pintar dalam jemaah pemikir yang pintar. Dengan demikian insyAllah usaha seperti itu akan dapat mengembalikan orang Melayu ke dalam keadaan yang boleh mengharap kepada hormat dan kepercayaan rakyat pemegang teraju pemerintahan negara. Tidak ada paksaan dalam perkara hormat. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan