Pelatih PLKN boleh minta tangguh jika tidak dapat cuti
KUALA LUMPUR: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang gagal mendapat cuti tambahan daripada majikan bagi meneruskan program itu boleh memohon penangguhan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.
Beliau berkata buat masa ini, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 tidak memperuntukkan pemberian cuti melebihi 30 hari kepada pelatih.
"Tetapi jika majikan tidak membenarkan permohonan cuti selama 90 hari, pelatih boleh memohon penangguhan di bawah kategori kesusahan luar biasa," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, bagi kementeriannya.
Abu Seman berkata, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan pelatih untuk memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) supaya pertimbangan boleh dibuat.
Beliau juga berkata, majikan adalah digalakkan untuk mengambil bekas pelatih PLKN sebagai kakitangan mereka kerana bekas pelatih mempunyai nilai insan yang tinggi hasil daripada program yang telah mereka lalui.
"Ia terbukti daripada kajian JLKN dan diakui oleh majikan yang sudah mengambil bekas pelatih sebagai pekerja mereka," katanya.
Mengenai cadangan untuk menempatkan doktor di kem latihan, Abu Seman berkata JLKN belum lagi bercadang untuk melaksanakannya kerana faktor kekurangan doktor.
Bagaimanapun, JLKN sudah menempatkan empat penolong perubatan dan tiga jururawat terlatih yang dibantu dua anggota paramedik dari bahagian kesihatan Angkatan Tentera Malaysia di kemkem, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan