HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Jun 2008

RM12j melayang, isu belum selesai
Oleh Meor Hisham Zulkifli


JUMLAH hampir RM12 juta sudah pun bertukar tangan, tetapi belum ada kata pemutus terjelma di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Gifted Group Limited (GGL) berhubung kemelut penganjuran Piala Juara-juara Belia (CYC), tahun ini.

Angka RM12 juta itu diperoleh hasil pemahaman bahawa tiga pembayaran sudah pun dilunaskan - daripada empat ansuran seperti terkandung dalam kontrak - ketika status kejohanan masih jadi pertikaian.

Apa yang pasti, KBS kini tampak begitu berazam untuk cuba mendapatkan semula bayaran berkenaan - menerusi penelitian rapi syarat dan klausa dalam kontrak ditandatangani dengan GGL itu.

“Itu yang kita bincangkan dan kita nak tengok semua klausa dalam kontrak, termasuk perkara membabitkan penafsiran undang-undang. Kita tidak mahu KBS membayar untuk kejohanan yang tidak dapat dilangsungkan dan tak mahu kita rugi.

“Bagi saya ada harapan (untuk dapat balik wang itu) namun saya tidak boleh melangkaui Peguam Negara. Andai saya peguam, saya yakin tetapi kerana perkara ini sudah diserahkan kepada Peguam Negara, biarlah mereka yang tentukan,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Antara faktor cuba dikaitkan KBS untuk mendapatkan kembali wang berkenaan ialah isu ‘pengiktirafan rasmi tiga tahun’ yang diperoleh GGL daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Kerana itu, Ismail Sabri sudah meminta Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, mendapatkan pengesahan Fifa mengenai pengiktirafan itu.

“Saya nampak isu ini adalah antara FAM dan GGL. Sebenarnya bagi saya, andai GGL sudah menghidu masalah ini sejak awal, mereka seharusnya terlebih dulu berunding dengan FAM dan tak perlu tunggu sehingga keadaan begini.

“Memang ia membabitkan kontrak antara KBS dan GGL, namun bagi memastikan ia boleh dianjurkan, ia perlu dapat pengiktirafan FAM sebelum restu Fifa. Untuk melangsungkan kejohanan juga perlukan kerjasama FAM,” katanya.

Ia sekali gus mewujudkan tanggapan, KBS mahu menguburkan CYC, biarpun kementerian itu tidak menyatakannya secara jelas, sebaliknya berselindung dengan kata-kata seperti ‘kita akan lihat segala dokumen GGL’.

Azzuddin, ketika ditemui selepas bertemu dengan pegawai KBS, pula menyatakan bahawa FAM tidak pernah menerima permohonan rasmi untuk pengiktirafan CYC daripada GGL.

“Kami tidak terima apa-apa. Cuma ada satu emel dihantar kepada saya menyatakan GGL akan hantar surat rasmi memohon kepada FAM (supaya mengiktiraf kejohanan ini). Namun sehingga kini surat rasmi itu tidak dihantar,” katanya.

Ismail Sabri turut menegaskan bahawa keputusan muktamad mengenai nasib CYC akan hanya diketahui selepas segala maklumat, dan nasihat Peguam Negara, dirujuk ke pengetahuan Jemaah Menteri.

Tiada ulasan: