HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Jun 2008

Selangor jangan jadi penganjur maksiat
Roslan SMS


Saya membaca dengan penuh minat pengumuman penganjuran perlawanan bolasepak Piala Sultan Selangor yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam pada 8 Julai ini nanti.

Perlawanan tradisi jaguh bolasepak Selangor-Singapura (membariskan pemain bola veteran dan semasa) memang sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat sukan khasnya bolasepak negara.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu anak syarikat kerajaan negeri Selangor dengan penaja utamanya terdiri daripada Redmax Sdn Bhd, Syabas, Splash dan Taliworks. Tahun lepas seramai 80,000 penonton telah membanjiri stadium berkenaan untuk menyaksikan kejohanan ini.

Yang bezanya tahun ini, kerajaan negeri bukan lagi BN tetapi Pakatan Rakyat, kemungkinan penonton dijangka lebih ramai lagi memandangkan masing-masing terlibat dalam menaikkan kerajaan yang baru ini. Cuma yang saya rasa terkilan adalah acara yang disusun oleh pihak penganjur pada malam berkenaan. Sebelum pertandingan bermula, pihak penganjur akan mengadakan konsert yang membariskan penyanyi dan artis tempatan. Menurut beritanya antara artis yang akan menghiburkan penonton adalah David Arumugam (Alleycats), Ella dan penyanyi dangdut Mas Idayu.

Apakah KDEB terlupa bahawa kerajaan negeri yang ada hari ini bukannya kerajaan BN tetapi kerajaan Pakatan Rakyat. Kerjaaan Pakatan Rakyat terbina dari persepakatan tiga buah parti terbesar di negeri ini iaitu PKR, DAP dan PAS.

Konsert membariskan artis wanita seperti Ellla dan apalagi Mas Idayu jelas bertentangan dengan Islam. Nilai moral Islam ini merupakan antara asas perjuangan PAS iaitu salah sebuah parti yang menyumbang ke arah pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, apakah kerajaan negeri telah diajak berbincang atau dimaklum hal ini?

Sesungguhnya saya berani menyatakan 80% atau mungkin lebih dari para penonton pada malam itu nanti akan terdiri dari orang Melayu/Islam. Menyogok rakyat dengan hiburan melampau seumpama ini jelas bertentangan dengan tuntutan manifesto PAS pada PRU lalu iatu:

Menegaskan penghayatan Islam sebagai aqidah yang sejahtera dan cara hidup (ad Deen) bagi umat Islam di negara ini.

Jika kerajaan negeri telah bersetuju dengan acara ini saya minta ianya ditarik balik, mungkin kita boleh menyepi dengan menjemput David Arumugam tetapi apabila dilonggokkan pula Ella dan Mas Idayu maka kita bersubahat dalam memberi saham maksiat kepada rakyat kita sendiri.

Pakatan Rakyat mesti berbeza dari BN serba –serbi, bukan sekadar telus dan anti rasuah tetapi lebih penting lagi memelihara dan mempertahankan moral dan nilai agama. Saya suka meningatkan orang PAS pernah berdemonstrasi semasa BN dulu kerana menentang acara-acara maksiat seumpama ini, jangan sampai mereka berdemo terhadap kerajaan mereka sendiri.

1 ulasan:

Canser vs B17 berkata...

Saya menyokong 100% bahawa kerajaan PR haruslah berubah sepenuhnya daripada kerajaan BN.

Jangan hanya pandai bercakap dan nampak kesalahan orang lain, tapi dalam waktu yang sama masih terikut-ikut cara BN juga.

Kalau berani mengharamkan Islam Hadhari dan ingin menegakan Islam yang sebenar, maka buktikanlah.

Jangan nanti perkara ini menjadi senjata makan tuan.