HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Jun 2008

Undang pelbagai masalah: FOMCA
Sinar Harian


Pengumuman kenaikan harga petrol yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak.

Menurut Ketua Pengawai Eksekutif Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Marimuthu Nadason pengumuman kenaikan harga petrol ini bakal mengundang pelbagai masalah di dalam perkhidmatan kenderaan awam.

“Syarikat atau individu yang mengusahakan perkhidmatan awam akan menggunakan alasan kenaikan ini bagi menaikkan harga perkhidmatan mereka lantas ia bakal mengundang kepada ‘chain reaction’ (reaksi jaringan).

“Mereka akan mengambil kesempatan dari orang ramai kerana mereka tahu pengangkutan awam bakal menjadi pilihan pengguna yang ingin berjimat.

“Kerana itu kerajaan perlu memantau golongan ini bagi memastikan pengguna tidak teraniaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau bagaimanapun menambah, kenaikan ini memang sudah dijangkakan memandangkan di negara-negara lain perkara ini sudah pun berlaku, bahkan ia jauh lebih mahal dari Malaysia.

Menurut beliau lagi, penarikan subsidi kerajaan pada bahan bakar ini perlu dijelaskan dengan mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat Malaysia terutama di dalam sektor awam lain seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, pertanian dan lain-lain yang melibatkan orang ramai.

“Tiga tahun lepas kita sendiri menyaksikan beberapa kenaikan petrol berlaku dalam masa setahun, jadi tidak mustahil perkara tersebut akan berlaku lagi,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Projek Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mohd Nirwandy Nordin, berkata, kenaikan harga minyak memang sudah dijangka tetapi tidak menjangka ia naik dalam jumlah yang begitu tinggi.

“Dengan kenaikan ini kita menyeru agar Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak lebih efektif dan cepat sebelum kenaikan harga barangan keperluan yang lain naik secara mendadak.

“Kita percaya akibat dari kenaikan ini ramai pengusaha akan mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan secara serta merta jika tiada langkah pencegahan daripada kerajaan.

“Jika dilihat situasi ini akan menyebabkan orang ramai teraniaya terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya.

PPIM juga meminta agar subsidi digunakan dengan sepenuhnya terutamanya untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan mewujudkan pam berasingan kepada mereka.

Selain itu PPIM juga mencadangkan agar subsidi diberikan kepada pengusaha sistem pengangkutan awan agar orang ramai menggunakan kemudahan tersebut supaya kos sara hidup dapat dijimatkan.

“Apa juga keputusan kerajaan, pihak pengguna harus akur, kerana ia berlaku akibat tekanan global pasaran dunia,” ujarnya.

Tiada ulasan: