HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Jun 2009

Larang merokok semua kawasan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Semua tempat awam perlu dijadikan kawasan larangan merokok jika kerajaan serius terhadap masalah kesihatan berpunca daripada merokok.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, larangan merokok yang dihadkan di kawasan tertentu berhawa dingin jelas tidak mampu mengubah sikap orang ramai untuk berhenti merokok.

"Oleh itu saya mencadangkan kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di semua tempat awam kecuali di rumah perokok itu sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan dua lagi zon larangan merokok yang akan diwartakan tidak lama lagi sekali gus menjadikan 22 zon larangan merokok di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, zon larangan terbaru yang masih di peringkat perbincangan itu bakal meliputi semua tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan lobi-lobi hotel.

Jelas Tiong Lai, pertambahan zon larangan itu dilihat amat perlu bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok akibat terhidu asap rokok.

Dalam hubungan ini, Maamor berkata, langkah Kementerian Kesihatan memperkenalkan zon baru larangan merokok itu adalah tepat kerana merokok boleh mendatangkan kemudaratan amat dahsyat.

"Asap rokok tidak boleh dihapuskan dan ia akan pergi ke merata-rata tempat sekali gus memberi kesan kepada orang yang terdedah kepadanya," ujar beliau.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pengiklan yang menonjolkan kebaikan merokok kepada orang awam.

"Iklan yang menjadi tatapan umum hendaklah menyajikan maklumat yang berbentuk fakta dan bukannya mengelirukan pengguna," katanya.

Tiada ulasan: