Zed Zaidi Presiden Seniman 
 
 Zed Zaidi


PETALING JAYA - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan Mesyuarat Agung ke-14 Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terbatal dan tidak sah.

Mahkamah turut memerintahkan mesyuarat itu diadakan semula dengan dikendalikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, memetik laporan Utusan Online, Zed Zaidi berkata, beliau tidak tahu berhubung penarikan semula jawatannya selaku presiden berikutan keputusan mahkamah itu memandangkan beliau baru sahaja pulang ke tanah air dari Bangkok, semalam.

Zed Zaidi mengikuti lawatan anjuran Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

“Saya tidak tahu berhubung hal ini, sebelum saya mendapat sebarang kepastian seperti surat bertulis, saya tidak dapat memberikan sebarang komen.

“Apabila saya sudah mendapat maklumat berhubung perkara ini, saya akan maklumkan kepada pihak media," katanya.

Mahkamah memutuskan, Mesyuarat Agung Seniman kali ke-14 yang diadakan pada 25 Mei tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal justeru secara automatik Zed bukan lagi presiden persatuan itu.