HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 November 2013

Dewan Ulamak kecewa dituduh gila kuasa

 
"Bukan kami hendak merendah-rendahkan yang bukan ulamak tetapi rahsia kekuatan PAS sejak tahun 1951 adalah berdasarkan kekuatan golongan ulamak," 




SHAH ALAM: Dewan Ulamak PAS kecewa di atas tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu dalam parti itu sendiri yang menganggap mereka sebagai tamak dan gila kuasa kerana pernah mempersoalkan tahaluf siyasi (kerjasama) dalam Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Harun Taib berkata, cadangan supaya PAS mengkaji tahaluf siyasi itu disalah tafsir

“Bukan kami nak gila kuasa, kami tak tamak kuasa, kami tak gila kuasa tapi PAS parti yang berteraskan Islam maka siapa yang lebih faham (agama) selain daripada ulama.

“Bukan kami hendak merendah-rendahkan yang bukan ulamak tetapi rahsia kekuatan PAS sejak tahun 1951 adalah berdasarkan kekuatan golongan ulamak,” katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Mengakui muktamar tahun ini dalam suasana panas ekoran kenyataannya sebelum ini, Harun berkata bukan niatnya hendak menambahkan minyak panas tetapi mempertahankan resolusi itu sebenarnya datang daripada suara dan pandangan akar umbi.

Harun dalam Multaqa Ulamak di Kota Sarang Semut, Kedah pada September lalu mencadangkan supaya Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat menyemak semula kerjasama dengan PKR dan DAP, dan ini menyebabkan mereka diserang rakan Pakatan Rakyat lain termasuk pemimpin PAS sendiri.

Bagaimanapun, saranan Harun ditolak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan, parti itu akan tetap bersama sekutunya sambil menyifatkannya sebagai satu pakatan yang kukuh dan baik untuk diteruskan.

Saranan itu juga kemudiannya terus menimbulkan polemik apabila wujud beberapa cubaan untuk melagakan golongan ulamak dengan profesional.

Mengulas lanjut, Harun berkata cadangan itu tidak semestinya mahu memutuskan hubungan dengan sahabat lain tetapi mahu menilai apakah keuntungan dan kerugian yang diperoleh PAS jika terus bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Mungkin ada keuntungan dari segi kebendaan tetapi adakah kita untung menilai kekhilafan (kesilapan) kerana tidak menegakkan Islam dalam melaksanakan undang-undang syariah?

“Sejak tahun 1993 ketika Kelantan hendak menggubal undang-undang hudud kita ada pasukan yang berpendapat kita boleh laksanakannya dan ini adalah satu usaha yang tak pernah kita berhenti dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, kebanjiran serpihan bekas ahli Umno yang terbawa-bawa dengan budaya lama masuk PAS juga antara salah satu sebab kewibawaan parti itu sentiasa dipertikai sehingga berani mempersoalkan latar belakang kepimpinan Presiden sendiri.

Justeru, beliau menasihati perwakilan supaya tidak terpengaruh dengan suara sumbang yang mengatakan PAS tidak akan mendapat sokongan rakyat semua lapisan jika terus memperjuangkan Islam.

“Walaupun sedih hati dan kecewa kita akan teruskan dasar kita kerana memang peranan ulamak membetulkan kefasadan (kepincangan) pentadbiran, ekonomi, masyarakat, sistem pendidikan dan perundangan.

“Sama ada kita mati syahid atau dapat kejayaan itu ada di tangan kita kerana generasi akan datang akan mewarisi kecemerlangan dan menyambung perjuangan kita,” katanya.

Tiada ulasan: