HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 November 2013

PRN: Sarawak ikrar hadiah 2 Dun kepada PAS

Harakahdaily 


SHAH ALAM: PAS Sarawak berikrar mahu menghadiahkan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya negeri (PRN) itu yang akan datang.

Wakil Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden hari ini berkata, tekad itu diasaskan kepada sokongan rakyat terhadap PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya pada PRU13 lalu, PAS buat kali pertama menambah jumlah kerusi bertanding daripada satu kerusi pada 2008 kepada lima kerusi pada 2013.

Dari jumlah lima kerusi itu ujarnya, PAS Sarawak berjaya mendapat kembali wang deposit dari empat kerusi yang ditandingi.

"Sebab itu kita telah pilih slogan "Iltizam Untuk Sarawak".

"Kalau bukan satu kerusi, Insya Allah dua kerusi Dun kita akan hadiahkan kepada PAS pada pilihan raya negeri yang dijangka paling awal Disember 2015 nanti," katanya disambut laungan takbir oleh para perwakilan.

Selain itu, pengaruh PAS di Sarawak katanya makin melebar dengan kejayaan mewujudkan 16 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di seluruh negeri.

Menurutnya, Pasti ini telah berjaya menempatkan dakwah PAS di kawasan-kawasan bandar dan daerah besar di negeri itu.

Dalam pada itu, PAS Sarawak ujarnya sedang berusaha mewujudkan pusat tahfiz sulung di negeri itu menjelang 2015.

Menurutnya, pusat itu akan dibina di atas tanah seluas 10 ekar yang diwakafkan oleh pihak tertentu.

Tiada ulasan: