MSTAR ONLINE
Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat kali ketiga jawatankuasa itu hari ini yang turut disertai setiausaha-setiausaha badan perhubungan Umno negeri.
"Sehubungan itu pada minggu depan, satu persidangan meja bulat melibatkan golongan ini akan diadakan bagi mendapatkan input untuk dimasukkan ke dalam setiap kluster usul.
"Khususnya usul ekonomi yang akan diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, pendidikan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dan agama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Khamis.
Hishammuddin percaya dengan usaha itu, setiap usul yang bakal dibahaskan pada perhimpunan nanti akan lebih bermakna dan menarik minat bukan sahaja anggota Umno tetapi juga orang ramai yang hadir.
"Kami juga bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam di mana kali ini kami minta perbahasan kita lebih terbuka, tidak ada sekatan mahupun kekangan, tetapi lebih serius kerana selepas pemilihan Umno, orang ramai mahu melihat kita berada pada landasan perjuangan parti kita sendiri," katanya.
Ditanya jumlah NGO yang akan terlibat dalam persidangan meja bulat itu, beliau berkata ia akan diumumkan ketua kluster usul masing-masing.
Sehingga 7 November lepas, sebanyak 273 usul daripada 191 bahagian telah diterima jawatankuasa itu dengan usul politik mendominasi iaitu sebanyak 72, diikuti pendidikan (46), agama (37), ekonomi (36), sosial (12) dan usul-usul lain (70). - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan