KUALA LUMPUR:
Polis menahan seramai 76 pengawal keselamatan asing yang didapati
melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di empat daerah
iaitu Sentul, Brickfields, Dang Wangi dan Cheras semalam.
Operasi bermula pukul
10 pagi hingga 5 petang itu dianggotai seramai 115 pegawai dan anggota
dari kesemua jabatan di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur
(IPPKL) dan lapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kesemua pengawal
keselamatan itu yang masih lengkap beruniform, berumur antara 28 dan 45
tahun, telah dibawa ke IPPKL untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata kesemua
mereka terdiri daripada 34 warga Nepal, 20 (Pakistan), 11 (India), enam
(Indonesia), masing-masing dua (Sri Langka dan Bangladesh) dan seorang
Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah,
permit tamat tempoh, melanggar syarat permit kerja serta memiliki kad
pengenalan orang lain.
"Operasi hari ini
tertumpu kepada tujuh lokasi pemeriksaan iaitu di kawasan perumahan,
kondominium, apartmen, pasaraya, hotel, tapak projek dan tempat meletak
kereta di empat daerah itu kerana kami percaya ramai mereka bekerja di
situ.
"Pemeriksaan dari
semasa ke semasa akan terus dilakukan bagi membendung insiden tidak
diingini membabitkan golongan ini," katanya kepada pemberita di sini
hari ini.
Sementara itu di
Serdang, seramai 57 orang daripada 62 tangkapan yang dibuat melalui Ops
Bersepadu Cegah Jenayah (Ops Poket) dalam tempoh 10 hari lepas,
merupakan warga asing yang terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah.
Ketua Polis Daerah
Serdang ACP Abdul Razak Elias berkata dalam operasi yang bermula 21 Nov
lepas itu, warganegara Nigeria menjadi penyumbang terbesar dengan
seramai 25 lelaki dan lapan wanita ditahan.
"Dalam operasi
melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Imigresen dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, tangkapan turut
melibatkan warga asing Indonesia seraamai 10 lelaki dan 7 wanita,
Thailand seorang wanita, Vietnam dua wanita, Myanmar empat lelaki
manakala warga tempatan lima orang lelaki.
"Kebanyakan warga
asing yang ditangkap sebahagian besarnya menjalankan aktiviti mengedar
dadah, melakukan maksiat serta mengganggu ketenteraman awam di sekitar
kediaman mereka," katanya kepada pemberita kepada selepas majlis
perhimpunan khas IPD Serdang.
Dalam operasi itu,
polis membuat rampasan dadah jenis syabu berjumlah RM12,000 seberat 73.5
gram di IOI Mall, Puchong pada Sabtu lepas yang melibatkan tiga warga
Nigeria. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan