Seorang lagi ahli keluarga Perdana Menteri Malaysia Datuk Najib Razak turut mencuri tumpuan, mengikut jejak Datin Seri Rosmah Mansor dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang dan Terengganu.
Anak sulung Perdana Menteri, Mohd Nizar, 35, dilihat berada di pusat gerakan bencana diiringi satu rombongan yang besar.
Beliau merupakan anak Najib dengan isteri pertamanya, Tengku Putri Zainah.
Sebelum ini, Najib dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 memuji isterinya, Rosmah, di atas jasanya kepada negara.
Selain, bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, Najib mendedahkan Rosmah juga dikatakan berjasa kerana berjaya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Mesir akibat disyaki sebagai pengintip dengan hanya menggunakan pengaruhnya menelefon isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak (isteri kepada Hosni Mubarak).
Lebih dari itu, Rosmah juga dikatakan mengguna pengaruhnya dengan keluarga Diraja Arab Saudi untuk membebaskan pelajar Malaysia yang terkandas di Mesir semasa kebangkitan Arab Spring untuk memasuki negara itu tanpa menggunakan visa.
Sebelum ini bekas Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The News Straits Times Datuk A. Kadir Jasin dalam tulisannya diblognya, mencadangkan Rosmah perlu diberi jawatan menteri, malah mungkin jawatan perdana menteri.
Mengulas kenyataan Najib yang memuji isterinya ketika Perhimpunan Agung Umno itu, Tokoh Wartawan Negara itu berkata, pendedahan perdana menteri menyebabkan kedudukan Menteri Luar dan menteri lain harus dikaji kerana ternyata ia tidak setanding dengan Rosmah dalam menyelesaikan krisis antarabangsa.
Sementara itu, Mohd Nizar dilihat menyarungkan kemeja T sukan dimana tertulis "Najib My PM 2013" atau Najib PM Saya 2013 semasa di pusat gerakan banjir beberapa hari lalu, lapor sumber yang dipetik dari Malaysiakini.
Portal berita itu melaporkan Mohd Nizar melawat sekurang-kurangnya lima pusat penempatan banjir akan tetapi melarikan diri daripada media sebaik sahaja dikesan.
Apabila ditanya apakah perkataan yang tertulis pada kemeja T sengaja dipakai bagi memberi publisiti kepada bapanya dan Barisan Nasional (BN), Mohd Nizar menafikannya dan mendakwa kedatangannya hanyalah untuk membantu.
"Tidak, saya hanya di sini untuk membantu".
Bapanya merupakan Ahli Parlimen yang paling lama memegang kerusi di Pekan, yang antara kawasan yang mengalami bah di Pahang.
Hujan lebat yang dilaporkan turun di beberapa negeri Pantai Timur menyebabkan lebih dari 40,000 penduduk terjejas dan terpaksa berpindah ke 149 pusat penempatan sementara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan