HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Disember 2013

Banjir: Pemimpin Umno terpisah realiti akar umbi



 SAIDAH HAIRAN


SHAH ALAM: Kerajaan BN dilihat tidak mampu bertindak mengurangkan kesengsaraan mangsa banjir apabila mereka lebih mengutamakan Perhimpunan Agung Umno daripada memahami penderitaan rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad melihat ketidakseriusan Umno dalam membela nasib masyarakat Melayu dapat dibuktikan apabila rakyat Pahang khususnya dilanda banjir tahap kritikal tetapi pimpinan Umno tetap meneruskan persidangan.

Katanya, Perhimpunan Agung Umno diteruskan manakala Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh telah dijadikan sasaran berhubung isu banjir.

"Apa yang boleh dibawa oleh seorang Ahli Parlimen, mereka hanya boleh membawa isu ke Dewan Rakyat. Sedangkan kerajaan Pahang berada di bawah kuasa BN begitu juga kerajaan Pusat dikuasai BN tidak mampu mengurangkan kesengsaraan mangsa banjir," tegasnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir, di sini.

Beliau menegaskan kesengsaraan yang menimpa mangsa banjir di Pahang dan Terengganu tidak ditangani secara serius tetapi hanya sebagai isu sampingan.

"Pimpinan Umno tidak memahami dan agak terpisah daripada realiti di peringkat akar umbi," katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menyelar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan hanya Umno menjadi tempat penggantungan orang Melayu.

Beliau menegaskan, sejak merdeka sehingga sekarang sebahagian besar kehidupan orang Melayu ibarat `nyawa-nyawa ikan' kerana segala masalah yang dihadapi orang Melayu apabila diserahkan kepada Umno tidak dapat ditangani.

Apa yang terbukti tambah beliau Umno hanya menggunakan dasar dan cogankata untuk membantu orang yang tertentu di kalangan mereka.

Menurut beliau, dalam tempoh yang begitu lama sudah terbukti kegagalan Umno untuk menaikkan martabat yang sepatutnya dan sudah tiba masa orang Melayu memilih juara parti yang membela rakyat.

"PAS akan berusaha untuk menyelesaikan masalah orang Melayu dan orang bukan Melayu berdasarkan ajaran Islam," tegasnya.

Tiada ulasan: