Bernama
KUALA LUMPUR - Selepas pelbagai spekulasi dan tohmahan yang
diterima pendakwah, Mohammad Kazim Elias terhadap perlantikan beliau
sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini, beliau tampil
memberikan penjelasan.
Menurut Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, beliau
tetap dengan pendirian untuk menolak tawaran menjadi MT Umno disebabkan
tiga perkara iaitu komitmen luar sebagai penceramah, mahu menjaga urusan
pentadbiran Pusat Pendidikan Al-Barakah dan ingin menjaga nama baik
Umno daripada terus difitnah.
Biarpun keputusan yang dibuat itu muktamad, Pengetua Pusat Pendidikan
Al-Barakah itu tetap terbuka untuk memberikan idea dan cadangan yang
membina kepada perdana menteri terhadap agenda transformasi agama di
dalam Umno.
Mohammad Kazim berkata dalam pertemuan selama sejam dengan Najib di
bangunan Parlimen, perdana menteri memaklumkan tawaran untuk melantiknya
sebagai anggota MT Umno dibuat selepas mendapatkan pandangan empat
Mufti.
"Perdana Menteri memberitahu pelantikan saya adalah untuk memberi
nasihat kepada ahli-ahli Umno dan memperkasakan agenda umat Islam dari
peringkat sekolah rendah hingga menengah.
"Saya nampak perdana menteri sangat terbuka dalam hal agama dan meminta
saya merangka satu sistem pendidikan terbaik bagi membentuk generasi
muda menjadi orang yang lebih baik," kata Mohammad Kazim, yang merupakan
antara sembilan orang yang dilantik ke jawatan itu pada 29 Nov lepas.
Beliau bagaimanapun tetap kecewa dengan tuduhan orang ramai dalam laman
sosial dan blog yang melabelnya dengan pelbagai gelaran seperti syaitan
bisu, anak babi, gila glamer dan mahukan duit melalui jawatan dalam MT.
"Saya belum lagi beri jawapan mereka dah maki hamun. Macam mana orang
Pas yang dikatakan memperjuangkan Islam boleh kata macam tu? Sepuluh
tahun saya berkecil hati dengan mereka kerana membuat tohmahan buruk
terhadap saya.
"Masa Kedah diperintah Pas saya digam walaupun bukan ahli Umno. Poster
gambar saya dilukis dengan bertanduk seolah-olah syaitan. Kemuncaknya
mereka kata saya anak babi menyebabkan saya ambil keputusan meninggalkan
Pas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan