HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Disember 2013

Isu Papan Iklan : DBKL Pantau Penggunaan Bahasa Melayu

alt
 
Radhi Razak 


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan pemantauan dan operasi menurunkan papan iklan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu setiap minggu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk J Loga Bala Mohan berkata, tindakan mengeluarkan notis kesalahan juga dilaksanakan selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1982.

Denda maksimum bagi pemilik papan iklan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu ialah RM2,000.

"Berdasarkan empat siri operasi yang dijalankan, DBKL telah menurunkan 77 unit iklan di premis perniagaan di Jalan Silang, Lebuh Pudu dan Jalan Tun Tan Siew Sin atas kesalahan perkataan dan huruf dalam bahasa Melayu tidak diberikan keutamaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini Selasa.

Loga Bala Mohan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang ingin tahu mengenai tindakan bagi mengekang penularan penggunaan papan iklan dalam bahasa asing.

Beliau berkata tindakan menurunkan papan iklan akan diteruskan di kawasan lain termasuk Jalan Chow Kit dan Jalan Ampang.

"Tindakan ini tidak hanya akan tertumpu kepada iklan yang mengutamakan bahasa Myanmar atau Nepal malahan kepada lain-lain iklan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu," katanya.

Tiada ulasan: