HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Disember 2013

Kerajaan Jimat RM4 Bilion Subsidi Tahun Depan Ekoran Semakan Semula Subsidi Elektrik

 MSTAR ONLINE
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM4 bilion dalam bentuk subsidi untuk sektor tenaga tahun depan berikutan semakan semula subsidi elektrik, yang seterusnya akan disalurkan kepada usaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, sekolah dan kemudahan awam lain untuk rakyat.

Mengumumkan semakan itu di Parlimen pada Isnin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jumlah subsidi bagi sektor tenaga tahun ini sebanyak RM14 bilion.

"Kenaikan tarif elektrik mencerminkan dasar kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat, bukan sahaja untuk sektor tenaga, malah melibatkan sektor lain.

"Ia juga mencerminkan harga pasaran input kita supaya lebih efisien, dan sektor-sektor tertentu dan para pelabur juga boleh memberi respons kepada harga yang sebenar," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowatt sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jan 2014, daripada tarif elektrik semasa iaitu 33.54 sen.

Bagaimanapun, 70.67 peratus atau 4.56 juta daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menggunakan elektrik pada kadar 300 KWJ dan ke bawah, tidak terlibat dengan semakan itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: