HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Disember 2013

Mahathir: Ya, demokrasi kita tak sempurna

 

 
 
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad mengaku bahawa demokrasi Malaysia tidak sempurna.

Bagaimanapun menurutnya, ia stabil dan mampu menjadi pengimbang sosial kepada masyarakat di negara ini.

"Demokrasi Malaysia tidak sempurna tetapi demokrasi tidak sempurna lebih baik dari (rakyat) turun ke jalanan dan membunuh sesama sendiri," kata beliau dalam sesi ucapan makan tengah hari Forum Antarabangsa Umno 2013 di Pusat Perdagangan Dunia Putra hari ini.

Menurut beliau kerajaan sepatutnya mampu mengaku kesalahan mereka dan bertindak untuk terus memperbaiki diri dalam membantu perkembangan negara.

"Intipati demokrasi bukanlah untuk mencapai kemenangan tetapi menerima kekalahan," kata beliau.

Dalam ucapan ringkas tersebut Mahathir menambah, amat sukar membiarkan rakyat memilih kerajaan kerana tiada 100 peratus persetujuan dari semua yang terlibat.

Bagaimanapun penting bagi kerajaan menjaga golongan minoriti supaya tiada yang merasakan diri mereka teraniaya.

"Negara membangun perlu belajar kesilapan negara maju lain yang kini menghadapi masalah ekonomi kerana ketamakan diri sendiri," kata beliau.

Lebih 200 delegasi menyertai Forum Antarabangsa Umno 2013 dari 32 negara sempena perhimpunan agung parti terbesar Malaysia tahun ini.

Forum dua hari ini bertujuan sebagai perkongsian idea antara Malaysia dan negara lain dalam kesuburan demokrasi bertemakan 'Politik kesederdahanaan' itu.

Tiada ulasan: