HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Disember 2013

Muzakarah: PAS disaran jangan letak syarat - Fathul Bari

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ulama Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya mengingatkan PAS agar tidak meletakkan sebarang syarat yang boleh menggagalkan muzakarah antara kedua-dua parti Melayu-Islam seperti mana yang berlaku sebelum ini.
 
Sebaliknya Exco Pemuda Umno Malaysia ini menasihatkan PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar berpegang kepada empat perkara asas demi kemashalatan umat Islam negara ini.
 
Ini kerana tegas Fathul Bari, syarat-syarat yang diberikan PAS kepada Umno adalah perkara yang tidak logik dan tidak sepatutnya berlaku.
 
"Syarat-syarat yang PAS beri seingat saya pada tahun sebelum ini ialah Umno kena tukar atau ubah dasar dan perlembagaan...tak perlu letak syarat-syarat mengarut seperti ini.
 
"Mengapa mereka (PAS) boleh bincang dan bermuzakarah dengan DAP tanpa letak syarat ketat? Mengapa tidak letak syarat bahawa PKR kena terima dulu hukum Islam baru boleh berbincang? Mengapa mereka tidak letak syarat kepada PKR dan DAP?
 
"Tapi kenapa untuk berdiskusi dan bermuzakarah dengan Umno syarat-syarat pelik diberikan?" soal beliau ketika dihubungi Antarapos.
 
Saranan agar antara Umno dan PAS mengadakan pertemuan seringkali ditimbulkan namun ternyata ia gagal.
 
Hadi bagaimanapun sekali lagi membangkitkan cadangan itu ketika ucapan penggulungan muktamar parti itu hujung minggu lalu.
 
Ahli Parlimen Marang itu menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan Umno bagi membincangkan isu perlaksanaan pentadbiran Islam di negara ini.
 
Tawaran itu disambut baik pemimpin tertinggi Umno termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Tahun lalu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan muzakarah bersama Umno diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
Bagaimanapun pemimpin veteran itu menegaskan Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.
 
PAS dinasihatkan empat perkara jika serius
 
Justeru Fathul Bari mencadangkan kepada PAS empat perkara yang perlu dipandang serius kedua-dua pihak sekiranya mahu menjayakan pertemuan tersebut.
 
"Sekarang ini kalau betul-betul nak muzakarah saya nasihatkan PAS letak syarat kita berbincang atas-atas Islam, kedua sumber perbincangan bila kata Islam tidak akan lari daripada Al-Quran, sunnah, ijmak dan qias.
 
"...yang ketiga kedua-dua pihak perlu dahulukan Al-Quran dan sunnah bukan semata-mata rasional sahaja.
 
"Dan yang keempat kita kena berlapang dada mengakui kesilapan dan kesalahan sebab nak berdebat atau berdiskusi bukan nak cari siapa betul siapa salah," katanya.
 
Muzakarah bukan cari siapa menang dan siapa kalah
 
Tegasnya, matlamat bermuzakarah itu adalah untuk kemashalatan umat Islam dan negara.
 
"Tapi nak mencari jalan yang mana dapat memenuhi kemashalatan dan kepentingan umat Islam dalam negara kita di samping menjaga hak bukan Islam.
 
"Jadi kalau boleh sama-sama berfikir macam mana (lakukan), ini tak jadi masalah...ini bila orang dah setuju (bermuzakarah), dia pusing macam-macam.
 
"Ini yang saya kata hal yang sangat mengecewakan, kali ini kalau nak buat biar betul-betul serius bukan retorik politik semata-mata," katanya.
 
Tambah beliau, pihaknya bersedia memberikan cadangan serta pandangan bagi memastikan ia dapat diadakan.
 
"Kalau nak bermuzakarah beritahu, kita boleh susun apa nak buat sebab kita berfikir untuk kepentingan masa depan negara.
 
"Kalau setakat nak politik, nak tunjuk-tunjuk baik tak perlu," katanya.

Tiada ulasan: